Bangkok: Satu inkues bagi mencari punca kematian jurugambar Jepun yang ditembak ketika tentera menyuraikan kumpulan tunjuk perasaan di sini lima tahun lalu berakhir semalam tanpa sebarang keputusan.

Hakim memutuskan bahawa siasatan gagal mengenal pasti pihak mana yang melepaskan tembakan yang menyebabkan Hiroyuki Muramoto maut.

Muramoto, 43, yang bertugas dengan agensi berita Reuters ditembak di dada oleh individu tidak dikenali pada 10 April 2010 ketika membuat liputan pertempuran antara askar Thailand dengan kumpulan antikerajaan.

Siasatan mengenai kematian ketika kekacauan itu sebelum ini termasuk pembunuhan wartawan Itali, Fabio Polenghi menunjukkan kemungkinan ia berpunca daripada askar Thailand.

Pada November 2011, kerajaan yang ketika itu dikuasai bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berkata, terdapat bukti jelas Muramoto terkena tembakan yang dilepaskan senjata tentera.

Bagaimanapun, Mahkamah Jenayah semalam berkata, mahkamah tidak pasti kematian Muramoto dan dua lagi penunjuk perasaan berpunca daripada tembakan yang dilepaskan oleh tentera atau penunjuk perasaan yang bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:12 AM