AMRI (kanan) julang Johor DT.
AMRI (kanan) julang Johor DT.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengesahkan tiket ke pusingan kedua saingan Piala AFC selepas melakar kemenangan kali keempat untuk terus kekal berada di puncak kumpulan F dengan 12 mata.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil India, East Bengal di Stadium Vivekananda di Kolkatta, semalam, menyaksikan skuad kendalian pengendali sementara, Ismail Ibrahim mara bersama Kitchee FC dari Hong Kong yang mengumpul 10 mata susulan kemenangan 2-1 ke atas Balestier Khalsa untuk berada di tangga kedua di belakang wakil negara itu.

Beraksi dalam padang becak akibat hujan lebat menyaksikan skuad Harimau Selatan berada di depan seawal minit ketujuh menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahyah yang menolak mudah ke gawang tuan rumah selepas menyambut hantaran silang S Kunalan untuk mendahului 1-0.

Berikutan jaringan awal itu, tuan rumah cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi beberapa percubaan ke arah gawang pelawat, namun semuanya mudah digagalkan pertahanan Johor DT.

Ayam tambatan Luciano Figueroa hampir mencetak namanya selaku penjaring kedua Johor DT pada minit ke-25, tetapi sepakan percumanya sedikit tersasar walaupun penjaga gol tuan rumah sudah tertewas.

Bagaimanapun pada m-30 pengadil perlawanan terpaksa menghentikan perlawanan selama 20 minit ekoran hujan lebat.

Sebaik bersambung semula, anak didik Eelco Schattorie nyaris menghukum kealpaan benteng Johor DT, namun Sukhwinder Singh mensia-siakan peluang keemasan meraih gol penyamaan minit ke-40 yang mudah ditangkap kemas Mohd Farizal Marlias buat keputusan 1-0 itu kekal tamat separuh masa perlawanan.

Pada babak kedua, East Bengal yang pernah mara hingga ke separuh akhir Piala AFC musim 2013 lalu, tampil lebih garang dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Johor DT, namun kekebalan benteng diterajui Junior Eldstal dan Mohd Fadhli Shas menyaksikan tuan rumah terpaksa berputih mata sekali gus gagal layak ke pusingan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:43 AM