Kuala Lumpur: Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dengan rakan kongsi penyelidikannya UPECA Aerotech Sdn Bhd (UPECA) melaksanakan projek penyelidikan dalam pemesinan titanium maju untuk mengukuhkan keupayaan pembuatan komponen dan alat aeroangkasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Kamar Abu Samah berkata, Projek Penyelidikan dan Teknologi (R&T) secara usaha sama antara AMIC dan UPECA sebahagian daripada strategi AMIC di bawah program Kilang Masa Depan yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Katanya, Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dilancarkan baru-baru ini menekankan kepentingan meningkatkan aplikasi sains dan teknologi dalam aeroangkasa untuk mengukuhkan daya saing industri dan membangunkan keupayaan baru.

“Oleh itu, peranan AMIC sebagai pusat R&T diterajui industri aeroangkasa utama negara akan menjadi lebih penting,” kataya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UPECA, Kavan Jeet Singh berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikatnya meningkatkan keupayaan teknikal dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan aeroangkasa global.

“Bekerjasama dengan AMIC dan institusi tempatan turut memberikan contoh kerjasama teknikal antara industri dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

UPECA mengeluar dan memasang komponen pesawat struktur bagi syarikat aeroangkasa global. Antara platform disokong UPECA termasuk Airbus A320, 330, AA350 dan Boeing B787.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:21 AM