Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Dua lelaki dipercayai warga Nepal mati dibunuh menggunakan parang oleh rakan senegaranya dalam kejadian di bilik asrama sebuah kilang simen di Yong Peng di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, terdapat kesan tikaman senjata tajam pada kedua-dua mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, insiden itu disedari selepas pihaknya menerima panggilan pada 8.40 pagi dan sebaik tiba di lokasi, dua mayat lelaki ditemui terbaring berlumuran darah di atas katil asrama itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh ketika sedang tidur. Malah pembunuhan juga didapati berpunca disebabkan hutang bernilai RM2 yang enggan dibayar mangsa kepada suspek.

"Polis turut berjaya menahan suspek semasa di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:07 PM