PESERTA ditunjukkan senaman yang betul oleh jurulatih.
PESERTA ditunjukkan senaman yang betul oleh jurulatih.
ZUMBA mendapat perhatian ramai.
ZUMBA mendapat perhatian ramai.
SEMUA peserta Amazing 30 Days ObesCity bergambar kenangan.
SEMUA peserta Amazing 30 Days ObesCity bergambar kenangan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Kadar kegemukan atau obesiti dalam kalangan masyarakat dunia dan Malaysia khususnya sema–kin membimbangkan. Jika 10 tahun dulu, obesiti hanya dikenali sebagai faktor risiko kesihatan terutama untuk penyakit kardiovaskular.

Bagaimanapun, sejak lima tahun kebelakangan ini, bersandarkan penemuan saintifik baru, masalah obesiti ternyata membawa kesan lebih buruk terhadap kesihatan dan menyumbang kepada penyakit serius seperti jantung dan diabetes.

Amerika Syarikat misalnya mencatatkan 32.2 peratus dewasa obes pada 2003 hingga 2004 manakala statistik di Malaysia melalui Kajian Kesihatan Kebangsaan Morbiditi yang dijalankan pada 2011 mencatatkan 15.1 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah gemuk. Ini bermakna seramai 2.6 juta populasi dewasa di Malaysia adalah obes menjadikan Malaysia negara tertinggi mempunyai kadar obesiti dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Menyedari kesan jangka panjang akibat masalah kegemukan, satu pertandingan Amazing 30 Days ObesCity anjuran Brilliant Group diadakan sepanjang April ini yang bukan saja bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya obesiti, tetapi membuka peluang kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan menyahut cabaran menurunkan berat badan mereka.

Ia bermula dengan seminar percuma mengenai obesiti di Hotel Sri Petaling pada 29 Mac lalu yang dihadiri hampir 200 tetamu. Pada majlis itu, tiga jurucakap berkongsi ilmu berkaitan obesiti iaitu jurulatih kecergasan, Andreas Osbahr, testimoni daripada Anne Zara serta pakar motivasi dan penasihat, Faizel Amri.

“Untuk kekal sihat seseorang itu perlu menurunkan berat badan dan menjaga pemakanan mereka. Sihat bukan hanya pada luaran, tetapi dalaman. Salah satunya adalah mempunyai berat badan ideal,” kata Osbahr.

Untuk melayakkan masuk ke pertandingan ini, peserta mestilah mempunyai BMI melebihi 25, dengan berat 80 hingga 170 kilogram dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun. Mereka diberi nasihat dan panduan mengenai pemakanan, senaman serta aktiviti sesuai sehinggalah ke hari terakhir.

Sepanjang pertandingan, kesihatan peserta akan dipantau setiap minggu dan diberikan khidmat nasihat daripada 30 koordinator kesihatan dari seluruh negara.

Selepas 30 hari, peserta yang berjaya menurunkan berat badan paling banyak akan diiktiraf sebagai pemenang. Hadiah akan diberikan untuk dua pemenang utama iaitu wang tunai RM1,000, alat senaman treadmill dan jam sukan. Pemenang kedua menerima wang tunai RM500, bangku senaman dan jam sukan manakala lima hadiah sagu hati iaitu jam sukan diberikan kepada peserta. Program ini berlangsung selama 30 hari iaitu bermula 1 April lalu hingga 30 April ini.

Selain ceramah kesihatan, pelbagai aktiviti menarik diadakan pada hari seminar, antaranya zumba selama 10 minit yang dikendalikan Osbahr dan isteri. Tetamu melahirkan rasa gembira dengan aktiviti yang diadakan ini kerana banyak manfaat diperoleh.

Antaranya, mereka lebih mengetahui mengenai senaman, pemakanan serta pentingnya menjaga kesihatan badan supaya berada dalam berat yang ideal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 11:34 AM