Oleh Amirul Haswendy Ashari


Gaya lakonannya dianggap ‘kayu’ dan masih mendapat kritikan peminat drama tempatan, tetapi kini model dan pelakon Fattah Amin mencuba pula bidang nyanyian melalui single Hero Untuk Mu.

Sebaik single itu diperdengarkan kepada umum, pelbagai reaksi diterima daripada peminat dan khalayak industri hiburan tanah air. Ada yang memuji tindakan beraninya tampil dengan single, tidak kurang juga mencemuh gaya nyanyiannya.

Bertemu Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 24, pada majlis sambutan ulang tahun kesembilan TV9 baru-baru ini, Fattah akui tidak kisah dengan komen negatif yang timbul sebaik single Hero Untuk Mu dilancarkan, baru-baru ini.

Katanya, dia tetap melihat setiap komen dari sudut positif, terutama kritikan membina yang datang daripada peminat yang menghargainya.

“Apa yang saya lakukan ini lebih kepada kepada merebut peluang yang datang. Bagi saya, peluang ini harus diambil kerana ia tidak selalu muncul.

“Nyanyian juga minat saya, tetapi sebelum ini saya tidak diberi peluang ketengahkan bakat yang ada. Kini apabila diberi peluang oleh syarikat pengurusan, saya anggap ia sebagai satu cabaran untuk dilalui,” katanya.

Bagi Fattah, ia peluang yang tidak boleh dilepaskan. Katanya, sampai bila hendak berlakon kerana bakat lain yang ada padanya harus diketengahkan.

“Sebelum ini saya pernah menyumbangkan suara untuk single ciptaan rakan di laman YouTube, antaranya lagu Darjat, Love dan Sumpah Aku Cinta Padamu,” katanya.

Walaupun lagu Hero Untuk Mu baru dilancarkan minggu lalu, ia masih dalam peringkat pengenalan ke stesen radio untuk diputarkan.

“Dari segi sambutan, syukur Alhamdulillah. Lagipun, pihak pengurusan saya masih lagi usahakan untuk diperkenalkan di stesen radio. Maklum balas negatif belum diterima sebab lagu itu belum diputarkan menerusi radio.

“Ada perancangan untuk menjadikannya lagu tema drama, malah stesen TV juga bertanya untuk gunakan bagi acara mereka,” katanya.

Fattah akui antara sebab utama dia teruskan juga menyanyi kerana adanya maklum balas positif peminatnya di laman sosial.

Katanya, apabila berada di bawah syarikat pengurusan baru, projek pertama mereka adalah melancarkan single untuknya.

“Sebelum itu, saya ada muat naik nyanyian lagu ‘cover’ (saduran) daripada penyanyi lain seperti John Legend di laman sosial. Tujuannya untuk melihat maklum balas peminat.

“Ramai beri komen positif dan mahu saya hasilkan single sendiri. Menjadi anak seni itu luas, asalkan yakin de­ngan apa yang kita ada serta bertemu orang yang betul,” katanya yang mengambil masa beberapa bulan untuk menyiapkan single.

Pelakon drama bersiri Cinta Ibadah dan Playboy Itu Suami Aku berkata, bukan dia enggan fokus pada satu bidang dalam satu masa, tapi peluang merakam lagu tidak mudah diperoleh.

Katanya, dia sanggup ulang alik dari set ke studio rakaman untuk melalui pelbagai proses rakaman, termasuk bertemu komposer bagi sesi ujian vokal dan mencari genre lagu sesuai.

Selepas hampir tiga bulan, baru single itu dipersetujui pihak pengurusan dan komposer. Malah kekasih hatinya, Sherry Ibrahim turut menyumbangkan suara.

“Ketika menghasilkan lagu, komposer mahu suntik elemen rap dan vokal wanita supaya lebih menarik. Kebetulan Sherry ikut saya dan berada di sana (studio). Dia juga mempunyai vokal yang sedap.

“Kehadiran RJ untuk menyanyikan bahagian rap kerana dia penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dan bersesuaian untuk single ini,” katanya.

Kata Fattah, dia berbesar hati kerana akhirnya impian memiliki single yang dirakam dengan sempurna terhasil. Bagaimanapun, Fattah menolak dakwaan dia mengejar glamor apabila mencuba bidang nyanyian, sebaliknya hanya mahu lakukan yang terbaik de­ngan peluang diberi.

“Semua ini rezeki buat saya, sama seperti lakonan. Siapa sangka Cinta Ibadah dan Playboy Itu Suami Aku mendapat perhatian ramai.

“Gila glamor tidak wujud dalam diri saya. Populariti dan glamor datang seiring dengan pengiktirafan peminat terhadap hasil kerja kita,” katanya.

Drama lakonannya, Bencinta kini disiarkan di TV3 menerusi slot Samarinda. Fattah juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem Yang Mana Satu bersama Maria Farida, Puteri Najuwa dan Khatijah Tan untuk slot Skrin Di 9, TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:10 AM