PENGARAH Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia menunjukkan buku pertanyaan lazim mengenai GST. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PENGARAH Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia menunjukkan buku pertanyaan lazim mengenai GST. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan operasi audit mulai bulan depan bagi memastikan peniaga yang tidak menuntut balik cukai jualan menurunkan hargaselepas stok dalam tangan yang dibeli sebelum 1 April habis dijual.

Pengarah GST JKDM, Datuk T Subromaniam berkata, tindakan itu diambil berikutan hanya tiga syarikat daripada 75,000 yang layak menuntut bayaran balik cukai jualan atas stok membuat tuntutan sehingga semalam.

"Kami percaya sesetengah peniaga mungkin tidak mahu menuntut bayaran balik tetapi terus menambah GST pada kadar enam peratus ke atas stok lama yang sudah dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

"Keadaan itu menyebabkan harga barang meningkat, sekali gus membebankan pengguna... Jadi kami akan melancarkan operasi ini bagi memburu peniaga yang degil dan enggan menurunkan harga,"katanya pada sidang media mengenai GST di sini, sebentar tadi.

Subromaniam berkata, JKDM akan memberi bantuan teknikal kepada KPDNKK untuk memastikan ia dipatuhi terutama dari segi barangan yang ada cukai jualan dan jumlahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 2:29 PM