Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 3,072 kakitangan awam Gred 11 akan menikmati gaji pokok baru menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, ketika ini kakitangan berkenaan menikmati gaji pokok antara RM832 hingga RM850 sebulan tidak termasuk elaun.

"Kerajaan sedang melihat dan merangka untuk memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan Gred ini dan ia dijangka diumum pada hujung tahun ini.

"Kadar kenaikan adalah pada tahap yang sesuai dengan keadaan semasa,"katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Menurut Mohamad Zabidi, semakan itu juga merangkumi 252 skim perkhidmatan awam yang juga diumumkan hujung tahun ini.

Katanya, Gred 11 adalah kakitangan dalam kumpulan bawah yang antaranya pembantu am rendah, pemandu dan pembantu operasi.

“Pada 2002 kakitangan gred itu menikmati gaji pokok pada RM480 dan semakan semula dibuat pada 2007 sebelum dinaikkan kepada RM649, dan semakan terakhir pada 2013 dengan kenaikan kepada RM832,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 11:08 AM