Harris bersama model terbaru BMW ketika melancarkan BMW World Malaysia, semalam.
Harris bersama model terbaru BMW ketika melancarkan BMW World Malaysia, semalam.

Kuala Lumpur: BMW Group Malaysia menurunkan harga kereta jenamanya membabitkan BMW dan MINI sehingga 1.9 peratus, manakala 18 peratus lagi bagi motosikal menerusi BMW Motorrad selaras dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diyakini memberi manfaat kepada pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Harris berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya menyerah 1,729 unit kenderaan membabitkan BMW, MINI dan Motorrad kepada pelanggan.

“Prestasi ini nyata selari dengan apa yang kami lihat dalam industri automotif Malaysia berikutan spekulasi ke atas harga kenderaan selepas pelaksanaan GST, namun ia dijangka meningkat pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan program BMW World Malaysia, di sini, semalam.

Harris berkata, program itu menetapkan satu piawaian baru dalam industri automotif negara dan ia dilihat akan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju jenama kenderaan premium di Malaysia.

Pameran itu terbuka untuk orang awam mulai hari ini sehingga 19 April 2015. BMW World Malaysia menampilkan pameran jentera premium paling besar oleh BMW Group merangkumi model BMW 2 Series Active Tourer, BMW X6 dan pertama kali di Malaysia, BMW i8 serba baru.

Bagi MINI pula, BMW World Malaysia memperkenalkan MINI John Cooper Works baru, MINI Cooper 5 pintu dan MINI Cooper Countryman baru yang dipasang di negara ini. BMW Motorrad pula memperkenalkan model BMW S 1000 RR dan BMW R 1200 R baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:21 AM