Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Seramai 15 orang pengusaha akuakultur di Terengganu terpaksa menanggung kerugian RM 410,000 apabila ternakan mereka terjejas akibat fenomena El Nino.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kesan perubahan iklim itu amat dirasai pengusaha akuakultur daerah Kuala Terengganu serta Hulu Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 12 orang pengusaha di daerah Kuala Terengganu mengalami kerugian sebanyak RM 328,000 apabila 22 metrik tan ternakan sangkar ikan tilapia, baung serta patin mati mengejut.

"Manakala di daerah Hulu Terengganu, tiga pengusaha ikan tilapia, baung serta keli mengalami kerugian sebanyak 10 metrik tan membabitkan tujuh sangkar dengan kerugian berjumlah RM 82,000," katanya pada Perasmian Seminar Akuakultur Baik "Back To Basics", Di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Tanjung Demong, Bukit Keluang, di sini, tadi.

Hadir merasmikan majlis itu adalah Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Ruzaidi berkata, perubahan iklim antara risiko kepada pengeluaran makanan global dan ancaman utama kepada kualiti serta kuantiti pengeluaran khususnya bagi hidupan dalam air apabila suhu dunia meningkat.

"Pembenihan dan asuhan benih ikan marin khususnya di Besut turut terkesan dengan penyakit ikan Viral Nervous Necrosis (VNN).

"Virus ini akan menyerang mata dan otak sehingga ikan hilang keseimbangan, berenang secara tidak normal, kurang selera makan dan akhirnya mati.

"Penyakit ini akan menjangkiti ikan marin (ikan siakap dan kerapu terutamanya di peringkat benih). Pencegahan awal penyakit amat penting kepada akuakultur yang lestari," katanya.

Katanya, penstrukturan semula adalah perlu bermula dari peringkat pembenihan, asuhan dan pembesaran ternakan ikan siakap bagi memastikan kelangsungan ekonomi penternak di Besut.

"Sehingga kini seramai 754 penternak akuakultur berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan 30 penternak menerima sijil Amalan Akuakultur Baik (myGAP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 3:53 PM
Che Mohamad Zulkifly (kiri) melihat ikan kerapu yang dijadikan induk betina untuk proses pembenihan ikan di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Tanjung Demong, Bukit Keluang. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Che Mohamad Zulkifly (kiri) melihat ikan kerapu yang dijadikan induk betina untuk proses pembenihan ikan di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Tanjung Demong, Bukit Keluang. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI