Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyangkal laporan bahawa beberapa stesen minyak miliknya ditutup oleh sesetengah pengusaha yang tidak mampu menanggung kos operasi berikutan pelaksanaan mekanisme pengapungan harga minyak sejak penghujung tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, perkara itu tidak terjadi dalam kalangan stesen minyak di bawah kendalian PDB, namun mengakui berlaku penutupan bagi stesen minyaknya di bawah Stesen Binaan Pengedar (DBS) pada tahun lalu.

“DBS adalah salah satu konsep perniagaan yang menyaksikan stesen minyak Petronas diuruskan individu dengan segala keputusan mengenai operasi ditentukan mereka sendiri manakala kami hanya menyediakan reka bentuk, permit dan bekalan minyak untuk mereka,” katanya pada majlis pelancaran kempen PETRONAS ‘Ways2Win’ di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan yang menyatakan bahawa terdapat beberapa stesen minyak dikesan menamatkan operasi berikutan jualan yang mendorong kepada kerugian besar.

“PDB sentiasa mengamalkan komunikasi dua hala antara pihaknya dan pengusaha stesen minyak melalui penganjuran mesyuarat pada setiap minggu untuk membantu jika mereka menghadapi masalah dalam operasi perniagaan masing-masing,” katanya.

Mengenai pelan pembukaan stesen minyak baru tahun ini, Ibrahimnuddin berkata, PDB menyasarkan untuk membuka antara 20 hingga 30 stesen tahun ini bergantung kepada keuntungan PDB secara keseluruhan bagi tahun ini dan situasi ekonomi semasa.

“Secara purata, kami memperoleh pulangan sebanyak RM500 juta pada setiap tahun dengan RM2 juta hingga RM4 juta daripada jumlah ini digunakan bagi tujuan pembinaan bagi setiap stesen baru bergantung kepada lokasi dan saiz stesen minyak terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:21 AM