Oleh Roslen Fadzil

Boleh nampak kualiti rekaan fesyen untuk artis kita bertambah menarik ketika berlangsungnya malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (APBBH) 2014 di Genting Highlands, 5 April lalu.

Komen yang sama diberikan rakan saya yang meminati dunia hiburan dan fesyen. Mereka bukan saja yang datang ke Arena of Stars pada malam itu, tetapi juga menonton menerusi kaca TV di Alor Setar, Kedah dan Kuching, Sarawak.

“Cantik gaun Nad Zainal dan jubah Neelofa. Nampak elegan dan sopan,” kata rakan kolej saya dulu yang menghantar pesanan WhatsApp pada malam itu. Saya difahamkan gaun Nad direka Najeeb Azami manakala Neelofa pula oleh Fizi Woo.

Tidak dinafikan dengan tema Cinta, artis dan pereka fesyen cuba memberikan hasil rekaan terbaik mereka untuk diperagakan di karpet merah. Bagi calon artis yang menang, tentulah ia menjadi satu bonus apabila mereka melangkah naik ke pentas menerima trofi. Ketika itu semua memandang fesyen artis daripada setiap sudut.

Bagi saya, selain Nad Zainal dan Neelofa, Hanez Suraya, Amyra Rosli dan Ella juga kelihatan ‘stunning’ pada malam itu. Baju Hanez juga sentuhan Fizi Woo manakala Amyra dan Ella masing-masing oleh Rizman Ruzaini dan Wanpa. Pereka fesyen untuk Didie Alias berjaya menonjolkan sisi Avant-Garde kepada baju pelakon itu, cuma saya kurang berkenan sedikit dengan lampu yang diselitkan pada kuntuman ros di bahagian dadanya.

Artis lelaki biasanya lebih selamat kerana mereka lebih banyak mengenakan sut dan tuksedo. Pun begitu pemilihan warna perlulah sesuai dengan ketinggian dan susuk tubuh masing-masing. Tidak dinafikan dalam setiap majlis anugerah, pasti ada artis yang menjadi mangsa fesyen dan anda mungkin dapat menilai sendiri siapa mereka.

Apa yang lebih penting di sini, industri fesyen tidak kira di mana jua berkembang selari dengan dunia hiburan atau ‘showbi’z. Semuanya bermula dengan lahirnya anugerah seni di Hollywood, Berlin, Venice, Cannes dan Tokyo. Selain pertunjukan fesyen di pentas ‘runway’, karpet merah pada majlis berprestij menjadi ‘hotspot’ penting buat semua pereka handalan untuk mempamerkan rekaan yang hebat.

Pada Academy Awards yang lalu, aktres rupawan Emma Stone tampak sungguh anggun dalam busana berona hijau lumut rekaan Elie Saab. Majoriti pengkritik dalam Fasion Police di E! memuji Emma sekalipun ada seorang dua memberi komen sebaliknya.

Terdahulu, Madonna kembali membuka mata dalam usia emasnya itu dengan memperagakan Matador Chic rekaan Givenchy pada Grammy Awards yang lepas. Pada usia lebih separuh abad pun, penyanyi La Isla Bonita itu masih mampu membuatkan Lady Gaga terkedu dengan penampilan yang cukup seksi itu.

Bagi industri fesyen di Malaysia, kehadiran banyak anugerah hiburan yang hebat-hebat akan pasti terus menjana idea kreatif dalam kalangan pengamalnya untuk menzahirkan lebih banyak rekaan menarik. Kalau boleh biarlah rekaan itu benar-benar asli dan menyerlahkan identiti tersendiri. Kalau hendak meminjam idea pun, ia boleh atas dasar ‘inspired by’ dan bukan menciplak bulat-bulat.

Atas kepentingan fesyen juga, majalah digital gaya hidup ZIP yang baru dilancarkan pada Mac lalu memperkenalkan satu ruangan khas yang diberi nama Fe­syen Yoda. Ia bagi memberi penghargaan kepada pereka tempatan untuk memperkenalkan siapa diri dan apa falsafah fesyen mereka.

Selepas bermula dengan Amir Luqman, Fe­syen Yoda menonjolkan pula pasangan sahabat, Fizi Woo. Menarik diperkatakan di sini, seorang daripada mereka adalah arkitek. Jadi kita boleh nampak bagaimana pemikiran seorang arkitek dapat bercambah kepada ‘binaan busana’ untuk manusia - maka terhasillah busana rekaan seperti yang dipakai Neelofa dan Hanez Suraya itu - [email protected] / instagram: slenfadzil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:24 AM