ROTI jala bersama serawa durian sesuai untuk sarapan mahupun minum petang.
ROTI jala bersama serawa durian sesuai untuk sarapan mahupun minum petang.
UBI rebus menjadi hidangan klasik.
UBI rebus menjadi hidangan klasik.
TERUJA Amar dengan hidangan Asam Pedas.
TERUJA Amar dengan hidangan Asam Pedas.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Ubi rebus masih berasap dihidang bersama kopi ais antara menu epik buat mereka yang berkunjung ke Opera Klasik Kafe & Bakeri di Pekan Rawang yang baru beroperasi sejak Januari lalu.

Pemiliknya Nurul Huda Azizi, 34, selaku individu yang bertanggungjawab dalam seleksi masakan kampung di kedai kopi berkenaan.

Bukan saja air liur tetamu hadir kecur dengan ubi rebus, kudapan lain seperti roti jala serawa durian serta tepek kelapa bersama sambal sardin antara hidangan yang mengimbau nostalgia bagi mereka yang datang menjamu selera.

Jelas isteri kepada pengarah filem ternama tempatan Rashid Sibir itu, setiap hidangan adalah resipi asli digarap menerusi makanan kesukaan suaminya yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Meskipun berasal dari utara tanah air, Nurul Huda tidak canggung menyediakan hidangan selatan yang popular seperti mi bandung.

“Konsep hidangan adalah selera kampung dan masakan rumah. Justeru saya kumpulkan hidangan kegemaran suami serta keluarga untuk dikongsi bersama peminat makanan di luar.

“Hidangan asam pedas mahupun mi bandung Muar atau dinamakan Mi Bandung Mat Despatch di kafe ini antara cita rasa asli kerana kami membuat pesnya sendiri daripada awal. Tiada bahan segera, malah kualiti hidangan adalah segar pada harga berpatutan.

“Boleh katakan ramai pelanggan yang berkunjung bersama keluarga sanggup berulang kali datang semata-mata kerana hidangan asam pedas mahupun kudapan kampung yang kami sediakan.

“Satu penghormatan buat saya serta kru kafe jika mereka menyukai makanan di sini kerana semuanya adalah resipi yang kami nikmati ketika di rumah,” katanya.

Nurul Huda sangat teliti dalam pemilihan ramuan kerana mahu menjamin kualiti dan kesegaran sajian itu.

“Ikan memang kami tidak simpan sejuk beku tetapi kami beli segar di pasar. Bahan masakan kampung seperti ubi pula, kami memang ada pembekal. Serawa durian pula kami menggunakan durian ‘musang king’ yang terkenal dengan kualitinya.

“Kami mahu mereka merasakan makanan ini seperti hidangan di rumah tapi khidmatnya pada kualiti kafe. Selain itu kami memberi saiz hidangan berbaloi pada kadar harga berpatutan,” katanya.

Sungguh menyenangkan melihat ruang dalam berhawa dingin serta perincian dekorasi kreatif apabila menampilkan pelbagai poster yang dibingkaikan hasil sentuhan suaminya.

“Suami saya penyumbang terbesar dalam idea dekorasi kafe ini kerana itu minatnya. Pemilihan warna hitam putih membuatkan ruang kafe tampak luas selain mengikut tema warna korporat studio Opera Klasik.

Suami saya peminat poster filem mahupun muzik lama membuatkan dia datang dengan idea ‘memori lane’ sebagai tema kafe ini,” katanya.

Selain itu nama setiap menu unik kerana dirangkum bersama nama drama yang pernah diarahkan pengarah berkenaan.

Asam Pedas Pondok Buruk tumpuan Amar

Sanggup memandu ke Melaka semata-mata untuk menikmati asam pedas yang sedap membuktikan calon Pelakon Lelaki TV Popular ABP, Amar Baharin memang ‘hardcore’ terhadap hidangan selera kampung.

Tidak hairan, pelawaan berkunjung ke Kafe Opera Klasik disambut baik selain teruja kerana kafe berkenaan menyediakan juadah terbabit.

Malah, kudapan kampung seperti ubi kayu, roti jala serawa durian serta lempeng kampung nyata memenuhi selera tekaknya yang menggemari hidangan genre terbabit.

“Hajat nak datang ke kafe abang Rashid sudah lama tetapi komitmen, termasuk sesi penggambaran padat, membuatkan banyak kali hasrat itu tertangguh. Kali ini baru ada kesempatan dan lihat tema dia menghidangkan selera kampung membuatkan saya teruja mencubanya.

“Paling menarik ketika saya menilik menu, Asam Pedas Pondok Buruk mencuri tumpuan saya selain menu kampung lain. Variasi pilihan ikan juga banyak dan saiz hidangan saya lihat berpatutan dengan harga dipaparkan,” katanya.

Kata Amar, tidak banyak restoran menawarkan juadah kampung seperti ubi kayu rebus mahupun lempeng kelapa. Mungkin hidangan berkenaan berisiko untuk dihidangkan selain kesukaran mendapatkan ramuan berterusan.

“Biasanya hidangan ini hanya dihidangkan di rumah kampung dan tidak dijual. Jadi saya rasa unik apabila kafe ini menawarkan juadah terbabit dalam seleksi menu. Jika adapun mungkin terpaksa pergi ke kawasan kampung mahupun warung,” katanya.

Tambah Amar, selain menu membangkitkan nostalgia, dia tertarik dengan ruang dekorasi seolah-olah merentasi ‘memory lane’ apabila dinding kafe dipapar dengan poster filem lama.

“Selain makanan menepati cita rasa saya, deko ruang dalam kafe sangat menenangkan. Malah, hiasan dengan poster filem lama dibingkaikan untuk perincian pada dinding membangkitkan rasa nostalgia mereka yang meminati filem mahupun drama,” katanya.

Dia turut berkongsi perkembangan terkini bakal tampil dalam telemovie pada malam raya Hujan Pagi arahan Rashid Sibir, selain bakal muncul dalam drama bersiri bertajuk ‘Cik Bunga dan Encik Sombong’ diadaptasi daripada novel untuk tayangan puasa nanti.

Tidak ketinggalan, aktor muda itu turut ligat dengan perniagaan tudung bawah jenamanya AMAB yang bakal melancarkan ‘shawl’ segera untuk raya kali ini. Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang wwww.amab.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:05 AM