BAJA Sentap Anim mula mendapat perhatian ramai.
BAJA Sentap Anim mula mendapat perhatian ramai.

Oleh Siti Zarinah Sahib

[email protected]

“Saya pernah me­ngalami tekanan untuk membayar hutang sehingga jatuh sakit. Pada masa itu, hidup kami memang sangat ‘nazak’. Tiada pendapatan, suami tidak be­kerja dan saya tiada tempahan jahitan.

“Hanya mengharapkan pendapatan pencen tentera suami, sebanyak RM380 untuk menampung keluarga sedangkan hutang hampir mencecah RM4,000 sebulan,” ujar Pengarah Urusan Agro­ext Superbio Sdn Bhd, Anim Abu, 45, ketika menceritakan detik permulaan bagaimana memulakan perniagaan Baja Sentap Anim.

Berasal dari Kluang Johor, sebelum ini Anim bekerja sebagai tukang jahit di rumah dengan pendapatan yang tidak menentu. Sekiranya tiba musim perayaan pendapatannya tinggi sedikit sehingga mencecah RM1,000 sebulan. Keadaan ini berbeza berbanding pada bulan biasa hanya RM100 saja.

“Kerja sebagai tukang jahit memerlukan saya me­nyiapkan tempahan pelang­gan mengikut waktunya. Memang terasa penat kerana perlu bersengkang mata setiap hari. Dengan hutang yang banyak dan pendapatan yang tidak seberapa, akhirnya saya mengalami tekanan perasaan untuk membayar hutang sehingga jatuh sakit,” katanya sayu.

Percaya kepada rezeki Allah, permulaan kepada penghasilan baja sendiri apabila Anim dan suami ditawarkan sebuah lori untuk disewakan daripada seorang rakan. Memikirkan ketika itu mereka sangat memerlukan duit, akhirnya Anim bersetuju menggunakan lori untuk mengangkut baja. Oleh kerana tidak mampu membayar gaji pekerja, mereka bersama-sama mengangkat baja seberat lima tan untuk dihantar kepada pelanggan.

Dengan duit hasil menghantar baja itulah Anim mula mengatur strategi dan menyertai kelas Dr Azizan untuk mendapatkan ilmu dalam perniagaan. Semasa program, banyak panduan dan teknik yang dikongsikan terutama dari segi penjenamaan. Ia sekali gus membuka minda mengenai penjenamaan yang menjadi perkara pertama untuk memulakan perniagaan.

“Ketika bekerja sebagai kelindan lori, banyak ilmu yang saya pelajari. Tambahan pula saya mengangkut baja daripada satu tempat ke tempat lain, jadi saya banyak berhubungan dengan mereka yang menjalankan perniagaan ini. Selepas syarikat tempat saya bekerja ditutup, lantas saya dan suami merancang menghasilkan baja sendiri dengan nama Baja Sentap Anim,” katanya.

Baja serba guna

Ramai bertanya, mengapa dia menggunakan nama yang sangat menarik dan lain daripada lain. Menurut Anim, nama Baja Sentap Anim dipilih kerana ia satu-satunya baja yang boleh menghasil­kan buah pada pokok jantan. De­ngan memberi tumpuan kepada tanaman sawit, fungsi Baja Sentap Anim adalah untuk merawat tanah tandus, batu, pasir dan tanah gambut bagi membolehkan pokok hidup sihat, manakala pokok jantan dapat berbuah.

Anim berkata, hasil kajian dilakukan Jabatan Pertanian dan Agensi Perlindu­ngan Alam Sekitar (EPA) Kota Ting­gi mendapati baja ini mengandungi 88 jenis bakteria berfaedah (EM) berkualiti tinggi berbanding baja lain yang terdapat di pasaran.

“Baja ini juga mengandu­ngi zink dan ferum yang tinggi. Kedua-dua unsur ini diperlukan pokok untuk mengeluarkan bunga dan mengekalkannya pada pokok,” katanya.

Menurutnya, selain merawat tanah, baja berkenaan berfungsi merawat akar dan menggalakkan pertumbuhannya, meningkatkan tumbesaran pokok dan memulih­kan pokok berpenyakit.

“Baja Sentap Bio Organik ini medium baja semula jadi untuk pelbagai tanaman dan agen perawat tanah yang berfungsi secara biologi.

Ia berkesan terutama dalam penanaman sawit serta tanaman lain. Diformulasikan secara semula jadi untuk menjadikan sisa buangan kilang sawit terkompos kepada baja semula jadi,” katanya.

Syarikat AgroExt SuperBio yang bermula dengan pendapatan bulanan RM3,000, sedikit demi sedikit penjualan baja sentap semakin mening­kat sehingga mampu membuka syarikat sendirian berhad pula dengan mengambil sijil Sirim bernilai RM24,000.

“Saya hanya menggunakan salah satu daripada tip yang diberikan di dalam kelas dan mengambil masa sembilan bulan untuk melihat hasilnya. Apa yang saya lakukan adalah menjaga kualiti produk serta memaparkan testimoni pengguna.

“Ramai memberikan maklum balas positif selepas menggunakannya. Mereka terkejut kerana pokok yang sudah lama tidak berbuah tiba-tiba mengeluarkan bu­nga dan buah yang lebat hanya selepas menabur baja sentap di sekeliling tanaman. Begitu juga dengan tanaman sawit mereka yang bertambah hasilnya setiap tahun,” katanya.

lmu dulu, baru redah

Dengan hasil yang sa­ngat menggembirakan, pendapatan perniagaan Anim mencecah RM35,000 sebulan selepas sembilan bulan dipasarkan. Selepas itu, barulah dia berkemampuan membuat iklan kain rentang dan pemidang, mengiklankan dalam surat khabar serta menyertai ekspo agro di Johor .

“Pada satu tahap, dalam lima hari pendapatan diperoleh sekitar RM21,000. Namun, saya bekerja tanpa henti dan bersungguh-sungguh merancang perjalanan perniagaan. Saya berjaya menyelesaikan hutang yang tertangguh dan mampu menyewa sebuah kilang berserta peralatan memproses baja. Daripada bekerja seorang, kini mempunyai tujuh pekerja. Saya berasa amat gembira kerana kini saya dapat menambah nilai kehidupan orang lain,” katanya.

Anim percaya produk yang dihasilkan ini adalah terbaik di Malaysia. Dalam 50 tahun industri baja di Malaysia, Baja Sentap Anim adalah yang ketiga berdaftar dengan Sirim. Untuk itu, Anim bukan saja menambah nilai kepada kehidupan petani, tapi juga menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran racun serangga.

Menggunakan tanda pe­ngenalan Pokok Jantan Boleh Berbuah, Anim bersyukur kerana ilmu yang diperoleh menjadikan kehidupan sekarang lebih bermakna. Dia percaya kebanyakan usahawan yang gagal berkali-kali dalam perniagaan adalah kerana tiada mentor untuk membimbing mereka, ilmu yang kurang, cepat putus asa dan tidak fokus pada satu-satu perniagaan.

“Apa yang kami lakukan adalah mencari ilmu terlebih dulu, kemudian kami redah saja. Saya percaya setiap ilmu sama ada diperoleh di kelas atau menerusi pengalaman sangat bermakna. Selain itu mesti melakukan kerja dengan ikhlas ja­ngan mengira setiap sen yang dilaburkan kerana semua­nya akan ada ganjaran daripada Allah,” katanya yang banyak menjalinkan kerjasama menerusi pe­nyelidikan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kajian yang dijalankan membantu untuk me­ngenal pasti masalah penanaman tumbuh-tumbuhan oleh pekebun kecil, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Ditanya mengenai cabaran menceburi bidang pertanian yang banyak dimonopoli lelaki, Anim memberitahu, ia sesuatu yang sangat mencabar, namun memberikan pengalaman menyeronokkan. Sejak berusia lima tahun, dia memang terbabit dengan pertanian apabila membantu ibu menanam cili di rumah. Jadi bidang pertanian sememangnya menjadi darah daging sejak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:43 PM