Ribuan jenis kamera dicipta untuk ditawarkan kepada pengguna, namun SHUHADA MANSOR senaraikan antara yang popular dalam kalangan remaja.

Siapa yang tidak suka merakam gambar? Apatah lagi jika anda seorang yang sukakan aktiviti luar dan lasak, pastinya gambar sebagai kenangan akan melengkapkan perjalanan.

Jika dulu selfie bermaksud kita menangkap gambar sendiri secara solo, tetapi ada gelaran lain merujuk kepada selfie secara berkumpulan iaitu 'Wefie'. Walau apapun gelarannya, untuk merakam gambar memerlukan kamera dan subjek.

Budaya obses menangkap gambar ini secara tidak langsung memberi idea kepada syarikat berkaitan untuk mengeluarkan produk alternatif selain daripada kamera biasa.

Kini di mana saja kita berada, gambar kenangan bersama dapat diabadikan tanpa perlu meminta bantuan daripada orang lain. Ketahui tiga 'gadget' terkini yang semakin digilai anak muda. Meskipun ada antaranya mencecah ribuan Ringgit, ada yang tidak kisah untuk 'pejam mata' keluarkan belanja asalkan dapat memilikinya.

Monopod

Monopod adalah alat bantu kamera atau dikenali sebagai alat bantu selfie. Ia boleh digunakan bagi pengguna telefon pintar ataupun kamera poket. Bagi sesiapa yang gemar bercuti dan merakam video, alat ini seakan menjadi keperluan.

Alat ini kini menjadi pilihan anak muda yang suka meneroka tempat baru ketika melancong. Kelebihannya, ia boleh digunakan untuk mengambil gambar sendiri tanpa bantuan orang lain, apatah lagi jika tempat itu jarang dikunjungi orang lain.

Saiznya yang kecil, ringan dan mudah dibawa antara sebab ia menjadi kegilaan ramai. Pelbagai variasi sudut boleh dirakamkan, antaranya pandangan bawah, atas, hadapan, tepi bahkan tempat sempit. Percutian seorang diri pastinya memerlukan monopod untuk mengabadikan kenangan indah di tempat orang. Bermula daripada harga serendah RM10 hinggalah ratusan ringgit, 'gadget' ini boleh dikatakan dimiliki oleh setiap remaja.

Go Pro

Ada berpendapat Go Pro adalah kamera dikhaskan untuk aktiviti lasak. Disebabkan itu juga, pengeluar rasmi Go Pro sendiri menaja beberapa atlit sukan lasak seperti menyelam, 'surfing', mendaki gunung dan sebagainya. Kamera lasak dikhususkan untuk pengguna yang mahu merakamkan detik sukar yang pastinya mustahil untuk dirakam oleh kamera biasa. Saat terjun kapal terbang sehinggalah menyelam ke dasar laut, segalanya mungkin bagi pengguna Go Pro.

Kelebihan alat ini adalah ia dikatakan kurang gegar di mana ciri kestabilan kamera dicipta dalam kualiti terbaik. Lensa 'wide' menjadikan gambar keseluruhan pemandangan sempurna. Pengendaliannya mungkin mudah bagi mereka yang pakar, tetapi bagi anda yang baru berjinak-jinak, perlu mengambil masa untuk mahir dengan setiap fungsi ditetapkan.

Dari sisi lain, Go Pro lebih muda dibawa berbanding kamera lain seperti DSLR sebagai contoh. Ia boleh dimuatkan di dalam beg ataupun boleh dikepilkan di helmet, beg, basikal bahkan kereta apabila digabungkan dengan aksesori berkaitan. Berbanding monopod, kita perlu memegang sendiri sekiranya ingin merakam gambar, tetapi Go Pro lebih muda dan boleh dikepilkan di mana saja. Selain itu, ia boleh dikawal menggunaka WiFi ataupun komunikasi tanpa wayar.

Setiap keluarannya dipertingkatkan kualiti gambar. Difahamkan Go Pro terbaru iaitu model Hero 4 dikatakan mempunyai resolusi kamera sehingga 4K. Bagi yang sukakan aktiviti air, kamera ini semestinya satu kemestian kerana ia mampu tahan air hingga kedalaman 40 meter.

Drone

Pesawat terbang tanpa jurupandu mungkin kedengaran pelik, tetapi apabila disebut drone, pasti ramai yang tahu. Drone ataupun kamera jenis pesawat boleh dikatakan menjadi trend terbaru anak muda kini.

Baik digilai jurukamera profesional ataupun amatur, kamera ini semakin mendapat perhatian ramai. Drone adalah pesawat kecil yang diterbangkan menggunakan alat kawalan jauh di mana dilengkapi dengan beberapa kamera. Terdapat pelbagai jenis drone di pasaran ketika ini bermula daripada harga satu ribu Ringgit hinggalah mencecah puluh ribu.

Kenapakah ia menjadi kegilaan ramai? Tidak keterlaluan jika dikatakan drone adalah salah satu platform terbaru untuk kita menikmati perjalanan dalam pandangan berbeza.

Menurut jurukamera profesional Indonesia, Barry Kusuma, drone yang paling digemarinya adalah jenis DJI Phantom.

"Kenapa saya memilih model ini? Ia tidak terlalu besar, ringan dan mudah untuk dibawa ketika mengembara. Bagi peminat yang ingin berjinak dengan kamera ini perlu diingat, drone memerlukan penjagaan agak rapi. Jika anda ingin menjelajah, pastikan ia disimpan di dalam beg sesuai seeloknya 'hardcase'.

"Ada yang mahukan drone mereka boleh terbang setinggi mungkin tapi bagi saya, tidak perlu terbang terlalu tinggi untuk dapatkan gambaran menarik. Ia perlu sesuai dengan keperluan. Contohnya jika mahu mengambil gambar puncak gunung yang dilitupi pohon tinggi, waktu itu sebaiknya gunakan drone. Tidak perlu digunakan di mana saja. Perlu tahu kegunaan dan masa sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:58 AM