London: Keputusan seri 0-0 Burnley di laman sendiri dengan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana kelmarin melengkapkan hujung minggu bermakna buat tiga kelab yang berusaha mengelakkan diri daripada turun ke divisyen dua.

Burnley, seperti Leicester City dan Queens Park Rangers, menghuni zon penyingkiran Liga Perdana namun daripada aksi hujung minggu lalu membuktikan tiga kelab itu masih boleh menaruh harapan.

Kelab tercorot Leicester menundukkan West Ham 2-1 Sabtu lalu menerusi gol Esteban Cambiasso dan Andy King manakala QPR membelasah West Brom 4-1 bagi kemenangan kedua berturut-turut di laman lawan musim ini.

Keputusan seri Burnley di Turf Moor yang menyaksikan mereka menghuni tangga ke-18, dua mata di belakang pasukan tangga ke-17, Aston Villa, agak mengecewakan terutama ketika Tottenham tidak begitu mengancam.

Pengurus Sean Dyche bagaimanapun teruja.

“Saya fikir ia mata yang bagus. Saya fikir kami tampil dengan persembahan yang amat bagus dan mantap,” katanya.

“Kami berjaya mengekang mereka. Anda bercakap mengenai pasukan yang membelanjakan beratus juta pound bagi memperkasakan skuad mereka.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:30 AM