CHIANG menunjukkan perkakasan jentera F1.
CHIANG menunjukkan perkakasan jentera F1.

Anda mungkin menyaksikan Formula One (F1) hanya sebagai perlumbaan jentera pantas, namun pada hakikatnya ia adalah evolusi kenderaan dan teknologi perkomputeran.

Oleh itu, kehadiran pengeluar rumusan data seperti SAP secara tidak langsung membantu mengumpul data dan menganalisisnya yang kemudiannya menghantarnya kembali ke jurutera pasukan F1.

Tahun ini, SAP bekerjasama dengan pasukan F1, McLaren Honda yang mempunyai dua pemandu, Jenson Button dan Fernando Alonso.

Pengarah Urusan SAP Malaysia, Bernard Chiang berkata, tiga komponen komunikasi utama antara jentera, pasukan jurutera dan ibu pejabat membabitkan kira-kira tiga terabait dalam tiga perlumbaan yang diproses menggunakan perisian SAP.

“Perisian khas terbabit akan menganalisis 200 sensor data seperti keadaan tayar, enjin, kesihatan pemandu dan banyak lagi dalam tempoh tiga hari perlumbaan,” katanya.

Pada penghujung tahun ini, SAP akan menghasilkan perisian yang dinamakan Hana untuk memproses data lebih tepat bagi kegunaan F1.

Selain SAP, beberapa syarikat perisian turut menawarkan beberapa teknologi yang membantu jentera F1 beraksi lebih baik pada setiap perlumbaan.

Kira-kira 11,500 bahan komponen dipasang dalam sesebuah kereta lumba F1 milik McLaren Honda pada tahun ini.

Ketika berada di trek lumba, sensor pada kenderaan Button dan Alonso akan menghantar maklumat kepada garaj yang berada di Pit Stop untuk memantau prestasi dan keadaan kenderaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 11:13 AM