Menjadi anak kepada pelakon ternama Kamal Hassan bukanlah tiket untuk Shruti Hassan mengelak dimarahi produser.

Jika dia buat ‘perangai’, produser tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Baru-baru ini, Shruti mendapat surat perintah dari Mahkamah Hyderabad menghalangnya untuk menerima tawaran berlakon daripada mana-mana syarikat filem selagi dia tidak menyiapkan penggambaran filem di selatan India yang dijangka tamat pada 8 April ini.

Menurut produser filem terbabit, mereka sudah beri pilihan kepada Shruti untuk menyiapkan filem itu dalam masa 12 hingga 15 hari daripada jumlah penggambaran sebenar iaitu 20 hari.

“Bagaimanapun, pada saat akhir Shruti menarik diri daripada membintangi filem itu,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap aktres itu menafikan mereka dapat surat perintah mahkamah itu dan menjelaskan, Shruti terpaksa menarik diri kerana pihak produksi yang tidak profesional.

“Mengikut jadual asal, filem itu sepatutnya sudah siap, tetapi disebabkan masalah modal, tarikh penggambaran filem itu terpaksa ditangguh beberapa kali.

“Memandangkan tahun ini Shruti akan berlakon enam filem, maka dia tidak boleh terus menunggu penggambaran itu disambung pada tarikh yang belum pasti.

“Situasi itu menyukarkan Shruti untuk mengatur semula jadual kerjanya. Jadi dia tiada pilihan melainkan meninggalkan set penggambaran filem itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:37 AM