CONTOH tanah lot untuk dijual.
CONTOH tanah lot untuk dijual.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Jual beli tanah lot sebenarnya boleh menjadi satu pelaburan hartanah yang menguntungkan sekiranya ia mematuhi beberapa prasyarat yang ditetapkan.

Walaupun, jual beli tanah lot agak merumitkan, tetapi ia boleh menjadi satu bentuk pelaburan hartanah yang mendatangkan margin keuntungan yang agak tinggi.

Namun, ia bergantung sama ada individu ingin membeli tanah lot untuk membina kediaman sendiri ataupun untuk pelaburan jangka panjang yang boleh dijual semula pada harga lebih tinggi.

Bagaimanapun, untuk memastikan tanah lot yang dibeli itu wujud dan mampu memberi pulangan semula, orang ramai perlu peka dan transaksi jual beli tanah lot terbabit mestilah mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang sebenar.

Peguam Hartanah Alda Shukri Khairi & Associates, Salkukhairi Abd Shukor berkata, penting bagi seseorang untuk memastikan tanah lot terbabit bebas daripada sebarang bebanan, misalnya tanah lot itu mempunyai geran individu yang berasingan serta berstatus bangunan dan boleh dipindahmilik kepada pembeli.

Katanya, dalam apa perkara sekalipun, untuk berurusan dalam jual beli tanah lot sebenarnya perlu mempunyai ilmu dan jangan melakukannya sekadar ikut-ikutan atau terpedaya dengan tawaran harga jualan tanah lot yang murah.

“Jangan hanya terpesona dengan lokasi dan keadaan fizikal tanah lot terbabit selagi anda belum lihat geran individunya dan rajin bertanya kepada mereka yang berpengalaman dan pakar dalam urusan jual beli tanah lot sebelum membuat keputusan membelinya.

“Tanggapan masyarakat, dengan membeli tanah lot, kos untuk memiliki sesuatu hartanah itu lebih murah dan lebih jimat berbanding membeli sebuah rumah yang siap dibina. Namun, mereka hendaklah berhati-hati supaya pembelian tanah lot tadi tidak merugikan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini semalam.

Menurutnya, bagi mereka yang ingin berurusan dalam jual beli tanah lot juga digalakkan merujuk kepada peguam hartanah yang berpengalaman.

“Lantik peguam anda sendiri yang boleh melindungi hak dan kepentingan anda dalam urusan jual beli itu dan jangan hanya bergantung kepada peguam yang disediakan penjual kerana peguam yang dilantik oleh penjual tadi belum tentu dapat melindungi hak dan kepentingan anda sepenuhnya,” katanya.

Salkukhairi berkata, perlu diingat antara masalah yang biasa berlaku dalam urusan jual beli tanah lot lazimnya adalah tanah yang dibeli tidak wujud atau tiada geran individu yang berasingan, penjual gagal memindah milik tanah lot kepada pembeli walaupun pembeli membuat bayaran sepenuhnya, tidak dibuat mengikut prosedur perundangan yang sebenar dan tidak diuruskan oleh peguam hartanah yang berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:11 AM