Petaling Jaya: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggesa orang ramai untuk membeli kereta sebelum 1 April 2015 memandangkan kebanyakan syarikat kereta merancang untuk mengurangkan inventori mereka dengan tawaran yang menarik.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, syarikat terbabit mahu mengurangkan stok kereta yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum 1 April, apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengambil tempat.

“Walaupun beberapa syarikat kereta akan mengurangkan harga pada 1 April, tawaran sekarang adalah lebih baik. Selepas 1 April, mereka boleh menuntut kembali hanya 20 peratus daripada SST yang sudah dibayar,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan ke-16 MAA, semalam.

Beliau berkata, 20 peratus itu tertakluk kepada semua pihak yang terbabit dalam rantaian pembekalan, yang bermakna jika terdapat stok yang tidak dijual selepas 1 April, sama ada mereka memindahkan 80 peratus daripada baki SST kepada pelanggan atau menyerapnya.

Selain daripada GST, isu yang lebih mendesak sekarang ini ialah kadar pertukaran mata wang asing, kerana kebanyakan syarikat telah membayar cukai kenderaan yang dipasang di luar (CBU) dan kendeaan yang dipasang di Malaysia (CKD) serta lain-lain bahagian dalam dolar Amerika Syarikat, yang telah menambah nilai berbanding ringgit.

“Kita perlu ingat bahawa harga kereta naik setiap tahun. Jadi bukan semua syarikat dapat penjimatan melalui GST, daripada 10 peratus SST kepada hanya enam peratus GST, memandangkan kadar pertukaran mata wang sekarang ini adalah faktor terpenting dalam menentukan harga kenderaan.

“Apabila mereka melakukan pengiraan, mereka perlu membuat keputusan sama ada mengurangkan, mengekalkan atau meningkatkan harga,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:10 AM