MANGSA terperosok bawah treler. FOTO Nur Syazwana Mansor
MANGSA terperosok bawah treler. FOTO Nur Syazwana Mansor
Oleh Nur Syazwana Mansor

Gurun: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sisi kiri sebuah treler sebelum kedua-dua mereka terperosok di bawah treler berkenaan di hadapan Taman Seri Utama, Jalan Raya Gurun, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam, mangsa, S Nagarajan, 19, yang menunggang motosikal Modenas Kriss

bersama rakannya, A Robin Roy, 17, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Jerai, Gurun ke majlis perasmian gereja di Jalan Kolam air, Sungai Petani.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tanpa muatan itu yang datang dari arah Sungai Petani telah membelok ke simpang kanan untuk meletakkan trelernya di situ.

Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh sisi kiri treler terbabit menyebabkan motosikal mereka terperosok di bawah treler menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di bawah tayar treler berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 11:39 AM