TETAP indah dari pelbagai sudut.
TETAP indah dari pelbagai sudut.
KEMASAN seni yang memukau.
KEMASAN seni yang memukau.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Tampil dengan seni bina unik, Masjid Cyberjaya menampilkan ciri binaan yang membanggakan.

Terletak di Persiaran Semarak Api, Cyber 1, ia memperlihatkan hasil seni arkitektur yang diketengahkan ATSA Architects Sdn Bhd.

Ia menggabungkan konsep moden dan kontemporari dengan elemen seni bina tradisi Islam.

Menurut Ketua Pegawai Operasi ATSA, Ar Azim A Aziz, matlamat reka bentuk bagi menggambarkan Islam sebagai agama yang progresif dan mencerminkan kesederhanaan serta kemurnian seni bina masjid moden tempatan.

“Masjid ini direka bentuk selaras dengan wawasan Cyberjaya sebagai bandar hijau di masa hadapan.

“Penekanan utama adalah ke arah pendekatan yang lebih moden daripada tipologi pascamoden konvensional dan elemen kelestarian bangunan, tetapi mengekalkan intipati reka bentuk rohani Islam,” katanya.

Reka bentuk ‘Ethos’ di belakang masjid ini pula bagi memastikan ia menjadi sebuah bangunan yang benar-benar mampan dan model untuk pembinaan masjid masa depan di negara ini.

“Justeru, masjid ini menampilkan reka bentuk yang mematuhi tahap penarafan tertinggi, platinum Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan menggabungkan bahan boleh kitar semula.

“Selain peralatan yang cekap tenaga untuk me­ngurangkan penggunaan tenaga, sekali gus mengurangkan kos pengendaliannya.

“Ia menjadi antara salah satu masjid yang pertama di dunia yang menggunakan panel solar untuk menjana tenaga elektrik,” katanya.

Dewan solat utama pula direka untuk pengudaraan dingin selama dua jam untuk keselesaan menunaikan solat. Selain pengekalan suhu purata siang 26 darjah Celsius dalam masjid.

“Kubah pula antara elemen yang paling inovatif. Kubah tunggal terletak di dewan solat utama yang dibentuk menerusi penggunaan kaca berlapis ‘LE glass’ selain menjadi sumber cahaya semula jadi.

“Panel ‘Low E glass’ digunakan pada segenap ruang untuk mengurangkan haba daripada matahari memasuki bangunan masjid dan memanas ruang,” katanya.

Elemen dinding condong di belakang kolam, membolehkan air mengalir perlahan, sekali gus menampilkan sudut keindahan berbeza.

Kebanyakan bumbung ditutup dengan panel solar yang berupaya menjana tenaga dan mengalirkan­nya ke tempat sesuai.

Corak Arabesque pada ‘Glass Reinforced Concret’ pula digunakan sebagai dinding utama yang bertindak sebagai blok ‘ventilator’ dan peranti pelindung matahari.

Keadaan itu memboleh­kan angin semula jadi mengalir melalui bangunan dan pada masa sama menghalang haba yang dihasilkan dari cahaya matahari terus memasuki bangunan.

Bagi menambah pencahayaan semula jadi masjid, pemasangan lampu LED dan lampu jimat tenaga digunakan ketika malam.

“Pengesan cahaya pula dipasang pada seluruh bangunan untuk mengawal pencahayaan tiruan secara automatik apabila tidak digunakan.

“Sistem penuaian air pula diintegrasikan ke dalam masjid iaitu sistem pengairan landskap yang komprehensif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 1:45 PM