AFDLIN sifatkan pelakon komedi ini mampu timbulkan keceriaan dengan idea spontan.
AFDLIN sifatkan pelakon komedi ini mampu timbulkan keceriaan dengan idea spontan.
Oleh Riadz Radzi dan Ridzuan Abdul Rahman

Pemergian pelakon dan pelawak popular Harun Salim Bachik, 56, petang kelmarin menjadikan dia individu ketiga dalam kalangan pelakon utama drama bersiri popular Rumah Kedai yang meninggal dunia.

Dua pelakon utamanya iaitu Yusof Mohamad yang membawa watak Pak Halim meninggal dunia pada 2000, manakala Sudiro Sukirman yang sinonim dengan watak Tapa meninggal dunia pada 2008.

Akhirnya pada jam 4.20 petang kelmarin, Harun pergi buat selama-lamanya apabila pembantu perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, Perak mengesahkan dia meninggal dunia selepas rebah di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Gunung Semanggol dipercayai akibat sesak nafas.

Allahyarham yang mula dikenali dengan watak Remy dalam drama bersiri itu dikatakan mula tercungap-cungap sebaik memasuki tandas di sebuah stesen minyak di R&R berkenaan bersama anaknya, Hakeem Sofi Al-Rashyid, 14, sebelum tiba-tiba rebah.

Rumah Kedai adalah drama bersiri khas yang ditayangkan setiap hari dalam bulan Ramadan pada jam 5.30 hingga 6 petang di TV3 dan musim pertamanya mula ditayangkan pada 1988.

Selain mereka, ia turut dibintangi Kartina Aziz, Rosnah Mohd Aris, Datuk Zulkifli Zain, Khatijah Tan, Aliza Rafar dan Rosnani Yusof.

Watak Remy yang ‘nakal’ dalam Rumah Kedai boleh dikatakan bertitik tolak daripada pembabitan anak pelakon filem 1950-an Salim Bachik ini dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, apa membuatkan Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid cukup sinonim sebagai pelakon komedi ialah lakonannya dalam sitkom komedi Gado-Gado di TV1 pada awal 1990-an.

Sejak itu, Harun mula dilihat berbakat sebagai pelakon komedi.

Secara peribadi, penulis tidak begitu mengenali Harun tetapi mengikuti hampir setiap lakonannya. Bermula dari Rumah Kedai, Gado-Gado hinggalah filem terbarunya Abang Long Fadil dan Lelaki Harapan Dunia.

Ini termasuk pembabitannya dalam Maharaja Lawak Mega dalam kumpulan Boboi bersama Afdlin Shauki.

Bagi penulis, lakonan Harun sebagai pelakon komedi amat selamba. Setiap kali berlakon, Harun akan mempamerkan wajah selamba dan itu yang membuatkan dia nampak kelakar.

Walaupun tidak membawakan watak utama (kadang-kadang hanya muncul beberapa babak saja), tetapi kemunculan Harun tetap memberi impak.

Bukan sekadar pelakon komedi, Harun sebenarnya seorang pelakon ‘versatile’ dan mampu membawa watak serius.

Tentu ada yang masih ingat dengan lakonannya sebagai Cikgu Halim dalam drama berjudul Cikgu Limau Kasturi di RTM pada 1993.

Ia mengisahkan Halim yang berasal dari bandar dihantar bertugas ke sekolah di kawasan pedalaman iaitu Limau Kasturi yang terletak di daerah Gua Musang, Kelantan.

Kawasan itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik serta hanya dihubungi oleh laluan kereta api.

Wataknya sebagai guru bahasa Inggeris itu turut meninggalkan kesan mengenai kehidupan masyarakat di luar bandar selain betapa pentingnya pelajaran terutama dalam menguasai bahasa Inggeris.

Selain itu, Harun turut membawa watak serius dalam filem muzikal Horee! Horee! arahan Saw Teong Hin pada 2012.

Sementara itu, Afdlin ketika ditemui menyifatkan Harun seorang pelakon komedi genius.

“Bagi saya, dia adalah legenda dalam bidang komedi, tetapi orang ramai tak iktiraf.

“Komedi dia memang tiada tandingan. Dia adalah seorang genius bila kita letak dalam filem atau program TV. Ini kerana dia akan menimbulkan keceriaan dengan idea yang sangat spontan,” katanya ketika ditemui pada upacara pengebumian Harun di tanah perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Batu Muda di Batu Caves, Selangor, semalam.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Surau al-Mutmaimnah, Taman Pandan Perdana, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.45 pagi semalam.

Allahyarham yang pernah menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) meninggalkan isteri, Suriyanti Mohd Nor dan dua anak.

Dalam perkahwinan pertamanya dengan Martina Ahmad, 53, mereka dikurniakan empat anak.

Filem terakhir lakonan Harun ialah Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar yang baru tamat penggambaran minggu lalu. Difahamkan, Harun juga akan berlakon dalam telefilem Angin Cinta juga arahan Ghaz dijadualkan memulakan penggambaran semalam tetapi tidak kesampaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 10:24 AM