KERETA terbakar selepas bertembung pacuan empat roda. FOTO Abd Rahman Adam
KERETA terbakar selepas bertembung pacuan empat roda. FOTO Abd Rahman Adam
Oleh Abd Rahman Adam


Miri: Seorang lelaki maut akibat terperangkap di dalam keretanya yang terbakar selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, manakala tiga lagi ahli keluarga mangsa yang turut berada dalam kereta itu cedera dalam kejadian di Jalan Miri Bypass, 9.30 malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki bersama seorang rakan cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga pemandu kereta terbabit menemui ajal akibat tersepit di tempat duduk ketika kereta itu mula terbakar, manakala ibu serta dua adiknya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Eddy Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam pada 9.54 malam.

Katanya, sebaik tiba, kereta terbabit sedang terbakar dan pihaknya gagal mengeluarkan mangsa akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

"Kami mengambil masa kira-kira setengah bagi mengeluarkan mangsa sebelum mangsa dibawa ke Hospital Miri menggunakan van bomba untuk tindakan lanjut.

"Mangsa lain iaitu dua lelaki yang juga adik mangsa bersama ibunya, begitu juga dua lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan dengan seorang daripadanya parah.

“Identiti mangsa yang cedera masih belum dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 1:21 AM