Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kesempatan bermain di halaman sendiri gagal dimanfaat sepenuhnya UiTM FC apabila tewas 1-3 kepada pasukan DRB Hicom FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, semalam.

Pelawat yang dibimbing bekas penolong jurulatih Perak, Chong Yee Fatt garang mengutip tiga mata penuh sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

Penyerang muda DRB Hicom Mohd Aris Zaidi pantas meletakkan pasukannya di depan apabila menggegar gawang tuan rumah pada minit kesembilan menerusi rembatan padu yang gagal dihalang penjaga gol UiTM, Mohd Hafiz Abu Bakar.

Jaringan pendahuluan itu menyuntik semangat pemain DRB Hicom menguasai permainan dan pada minit ke-22 pelawat menambah gol kedua menerusi sentuhan Fakhrullah Rosli.

Tuan rumah menggandakan asakan dan Nursalam Zainal Abidin melonjak tinggi menanduk bola sepakan sudut pada minit ke-30 untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Namun, tuan rumah hampa apabila awang import DRB Hicom, Ivan Babic menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:54 AM