MUKHRIZ  (kanan) ketika merasmikan pusat servis Volkswagen di Langkawi, semalam.
MUKHRIZ (kanan) ketika merasmikan pusat servis Volkswagen di Langkawi, semalam.

Langkawi: Volkswagen Group Malaysia (VGM) melabur kira-kira RM2.5 juta bagi membuka pusat jualan, alat ganti dan servis (3S) terbaru dan paling lengkap di Jalan Penarak, di sini, sebagai usaha menyediakan perkhidmatan berkualiti bagi pelanggan di pulau bebas cukai itu.

Pengarah Urusan VGM, Armin Keller berkata, pihaknya mewujudkan pusat servis berkenaan untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak pelanggan Volkswagen.

Menurutnya, premis setingkat itu didirikan di atas tanah seluas 870.5 meter persegi mempunyai tiga ruang penyelenggaraan dengan masing-masing mampu memuatkan lima kenderaan pada satu masa.

“Pusat 3S ini dilengkapi ruang menunggu serta kemudahan WiFi dan minuman percuma,” katanya selepas majlis perasmian cawangan terbaru VW yang dikendalikan Goh Brothers Motor oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Goh Brothers Motor, Goh Kian Sin; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Mohamad Fuzi Mohaiden.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang kepada syarikat besar untuk membuat pelaburan atau membuka cawangan perniagaan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:36 AM