BRABUS 850 6.0 Biturbo Coupe.
BRABUS 850 6.0 Biturbo Coupe.
SPOILER kecil untuk tampak unik dengan mengekalkan aerodinamik.
SPOILER kecil untuk tampak unik dengan mengekalkan aerodinamik.
ENJIN menyalurkan 850 hp.
ENJIN menyalurkan 850 hp.
RUANG dalaman kemasan warna gangsa.
RUANG dalaman kemasan warna gangsa.
Oleh Erywan Norshal

Pameran Motor Geneva 2015 yang akan berlangsung dalam beberapa lagi, bakal dikejutkan dengan model kenderaan berprestasi terbaru, Brabus 850 6.0 Biturbo Coupe dengan menyalurkan 850 kuasa kuda.

Selain menyalurkan tork maksimum sehingga 1,450 Nm, Brabus 850 6.0 Biturbo Coupe dibina semula daripada model asalnya Mercedes-Benz S 63 AMG Coupe.

Enjin turbo lapan silinder berkembar daripada S 63 AMG Coupe ditala semula oleh Brabus untuk meningkatkan sesaran daripada 5,461 cc kepada 5,912 cc.

Ia dipadankan dengan pengecas turbo khas Brabus yang disalurkan ke sistem ekzos tahan karat dimensi 75 milimeter untuk memberi kuasa terbaik.

Kuasa daripada enjinnya dihantar kepada keempat-empat rodanya melalui transmisi automatik tujuh kelajuan yang boleh ditukar secara manual dengan menggunakan pedal di belakang stereng.

Kehadirannya dalam industri automotif global turut mencatat sejarah apabila menjadi kenderaan paling pantas dan berkuasa di dunia dalam kategori coupe pacuan semua roda yang mampu memecut sehingga 350 kilometer sejam (km/j).

Kereta dua pintu itu hanya mencatat 3.5 saat untuk memecut sehingga 100 km/j, manakala 9.4 saat (200 km/j), tetapi kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik kepada 350 km/j.

Bagi mengekalkan kestabilan pada kelajuan tinggi, Brabus 850 6.0 Biturbo Coupe dilengkapi komponen aerodinamik tambahan yang diuji dalam terowong angin.

Ia membabitkan penambahan spoiler gentian karbon dengan kombinasi laluan pengambilan udara besar pada bampar depan.

Bahagian belakang turut dilengkapi spoiler gentian karbon yang kecil, sekali gus tampak garang dan bergaya.

Rodanya pula menggunakan rim 21 inci yang menggunakan tayar berprestasi tinggi sama ada jenama Continental, Pirelli dan Yokohama dalam saiz 255/35 ZR 21 bagi depan, manakala belakang menggunakan 295/30 ZR 21.

Biarpun ia sebuah jentera berprestasi, ruang kabinnya tampak mewah dengan salutan kemasan warna gangsa membabitkan 219 komponen.

Malah, beberapa komponen pada papan pemuka dan konsul tengah yang sebelum ini menggunakan material kayu ditukar kepada gentian karbon, manakala kerusinya dibaluti kulit Alcantara hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:04 AM