Kamaman: Enam sekeluarga nyaris rentung apabila kereta mereka terbakar di susur keluar Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), di sini, 10 pagi hari ini.

Kejadian di Kilometer 284.6 ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, Selangor menuju Bandar Al-Muktafibillah Shah, Dungun.

Mereka terdiri daripada pemandu, Muhammad Syazwan Irfan Jamil, 22, ibu dan bapa serta tiga adik-beradiknya, yang dalam perjalanan bagi menjemput seorang lagi adik Muhammad Syazwan Irfan di Dungun.

Muhammad Syazwan Irfan, berkata secara tiba-tiba asap dan api keluar dari bahagian belakang keretanya.

“Cemas dengan kejadian itu, saya lantas memberhentikan kereta saya dan mengarahkan semua ahli keluarga saya turun. Selang beberapa minit kemudian, kereta saya tiba-tiba terbakar dan meletup,” katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata barangan yang terdapat keretanya tidak dapat diselamatkan.

Anggota Bomba dan Penyelamat turut digegaskan ke tempat kejadian. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:18 PM