SHAHIRUDDIN (kanan) menerima anugerah yang disampaikan Johari.
SHAHIRUDDIN (kanan) menerima anugerah yang disampaikan Johari.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pengorbanan dicurahkan dalam bidang sukan selama 20 tahun memberi kelebihan kepada Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin untuk dinobat tokoh Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) peringkat negeri Pahang.

Shahiruddin berkata, penghargaan diberikan itu sangat besar maknanya dan tidak pernah membayangkan menerima anugerah sedemikian.

Katanya, sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan pada 1995, beliau diberi tanggungjawab besar apabila Pahang menjadi tuan rumah Sukan Malaysia 1996.

“Sebagai orang yang masih baru ketika itu, saya menyahut cabaran dan melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan penuh semangat.

“Saya bangga apabila berjaya menjadi penganjur terbaik dan Pahang mendapat tempat kedua keseluruhan,” katanya pada Majlis Penyampaian ASUS, semalam.

Anugerah disampaikan Pengerusi Belia dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain.

Pada majlis itu, Shahiruddin menerima wang tunai RM5,000, sijil dan plak penghargaan.

Shahiruddin yang kini Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang berkata, kenangan tidak dapat dilupakannya apabila acara olahraga 100 meter menyaksikan persaingan sengit antara Azmi Ibrahim dan Watson Nyambek dan ia berjaya menarik kira-kira 20,000 penonton ke Stadium Darulmakmur.

Beliau berkata, selain itu banyak projek pembangunan dilaksanakan di Pahang termasuk Stadium Sukan Tertutup (SUKPA) dan beberapa kemudahan sukan lain.

“Saya terharu dengan penghargaan ini dan yakin sukan negeri ini akan terus maju dan berjaya di bawah kepimpinan EXCO baru yang bijak mendekati belia dengan mengadakan pelbagai pertandingan di semua peringkat.

“Pendekatan kerajaan bagi menarik golongan belia dengan aktiviti sukan kini berbeza berbanding sebelum ini, dulu semangat remaja untuk bersukan begitu tinggi kerana apa saja pertandingan diadakan pasti mendapat sambutan baik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, pemilihan Shahiruddin tepat memandangkan prestasi cemerlang sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai EXCO Belia dan Sukan pada waktu sama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Raub.

“Banyak kejayaan dapat dilihat terutama kelahiran jaguh sukan ketika beliau memimpin negeri dalam bidang sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:16 AM