SATU tembakan terkena cermin depan kereta.
SATU tembakan terkena cermin depan kereta.
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Gara-gara berebut seorang wanita, 12 suspek termasuk seorang wanita ditahan kurang lima jam selepas pergaduhan membabitkan dua kumpulan sehingga dua das tembakan rambang dilepaskan di tempat letak kereta berhampiran restoran di Jalan Seri Cemerlang di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian 12.15 tengah malam itu tiada kecederaan dilaporkan kerana tembakan diarahkan ke kereta milik satu lagi kumpulan.

Katanya, lima suspek ditahan kira-kira 5 pagi tadi di premis di Jalan Seri Cemerlang manakala tujuh lagi ditahan selepas tampil ke balai polis.

"Kejadian dipercayai berlaku selepas dua kumpulan itu berbincang berkenaan seorang wanita sebelum berlaku pertengkaran sehingga seorang daripada suspek melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya terkena cermin depan kereta milik satu lagi kumpulan.

"Selepas itu, semua suspek melarikan diri sebelum mereka ditahan lima jam kemudian untuk siasatan lanjut.

"Kita turut merampas sepucuk pistol yang mengandungi tiga peluru hidup yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 2:51 PM