Izlaily Nurul Ain Hussein


SEPERTI tidak ambil peduli mereka diburu polis selepas insiden samun dan melepaskan tembakan sehingga seorang warga emas maut di Kangkar Tebrau, Jumaat lalu, dua suspek kes itu sekali lagi melakukan jenayah keesokannya.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, mereka menyamun lagi seorang lelaki yang mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Molek.

Bukan itu sahaja, dua suspek terbabit turut melarikan Perodua Myvi dan wang tunai RM150 milik mangsa berusia 32 tahun selepas mengacukan senjata api ke arah mangsa.

Bagaimanapun, hasil siasatan polis berjaya mengesan kereta mangsa yang dilarikan di Pasir Gudang, kira-kira 12 tengah malam tadi dan mendapati dua suspek lelaki bersama seorang wanita dalam kenderaan itu.

Ketika dihampiri polis, suspek masih bertindak ganas dengan menghimpit dan melanggar kenderaan polis, walaupun sudah diarahkan berhenti.

Melihat keadaan membahayakan pengguna jalan raya menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek untuk memberhentikan kenderaan berkenaan sebelum ia terbabas.

Suspek kemudiannya mengacukan senjata api ke arah polis dan memandangkan kedua-dua mereka disyaki terbabit dalam kes tembakan rambang dan membahayakan, polis melepaskan tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri menyebabkan kedua-duanya cedera di kaki.

Namun, seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri, manakala seorang lagi ditahan bersama wanita di lokasi kejadian.

Wanita berkenaan dipercayai teman wanita kepada seorang daripada suspek.

Polis turut merampas sepucuk Revolver, sebutir peluru hidup dan Perodua Myvi hasil kegiatan samun Sabtu lalu di Taman Molek.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pada 12.10 tengah malam tadi, suspek yang pada mulanya berjaya meloloskan diri itu berjaya ditahan di sebuah rumah di Plentong selepas Ops Kesan dilancarkan.

“Dengan itu, sebanyak tiga tangkapan dibuat berkait kes samun dan melepaskan tembakan serta kes samun di ATM.

“Ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati suspek wanita tidak terbabit secara langsung dalam dua insiden samun, dia ditahan bagi membantu siasatan kerana berada bersama dua suspek di dalam kenderaan yang sama ketika dikesan.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan satu kes bunuh dan sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata api yang dilaporkan di sekitar Johor Bahru sejak tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan turut mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun, pecah rumah dan dadah, termasuk seorang suspek lelaki dikehendaki polis bagi kes samun pada 2007.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (Akta Lebih Berat) kerana menggunakan senjata api ketika melakukan jenayah.

Pada 8.57 malam, Jumaat lalu, dua suspek lelaki melakukan samun di sebuah rumah di Kangkar Tebrau dengan seorang suspek melepaskan satu das tembakan dan terkena kaki kanan seorang remaja lelaki 17 tahun yang juga penghuni rumah.

Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ketika melarikan diri daripada rumah itu sebelum terkena kepala seorang warga emas berusia 75 tahun yang duduk di hadapan rumahnya di Jalan Tun Fatimah, berhampiran tempat kejadian, sehingga menyebabkan wanita itu meninggal dunia.

Berita berkaitan

Tragedi tembakan rambang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 4:11 PM