WINGS puji sikap peminat.
WINGS puji sikap peminat.
Oleh Norhadiani Baharom

Khabar angin pembatalan Konsert Wings Menakluk Kosmos di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 27 Disember lalu dikatakan menjadi punca ia kurang mendapat sambutan.

Meskipun jumlah penonton yang hadir melebihi 3,000 orang, jika dibandingkan dengan rekod persembahan Wings sebelum ini ternyata jumlah itu jauh berkurangan.

Seberang Jaya adalah lokasi pertama dalam jelajah Konsert Wings Menakluk Kosmos. Ia akan diteruskan ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Sabtu ini dan Terengganu pada 6 Mac depan.

Penyanyinya, Awie berkata, ramai peminat menyangka konsert di Seberang Jaya dibatalkan berikutan bencana banjir yang melanda Kelantan, Pahang dan Perak ketika itu.

"Salah faham ini bukan membabitkan konsert Wings saja, tetapi di mana-mana konsert pun ketika itu sambutan pengunjung agak suram.

"Bagaimanapun, jumlah yang hadir pada hari itu masih memberangsangkan. Kami memuji sikap peminat yang hadir meskipun hujan ketika konsert berlangsung. Mereka yang begitu teruja memberikan kami semangat untuk meneruskan persembahan," katanya.

Seperti di konsert pertama, Wings terus mengekalkan matlamat sama iaitu berhibur sambil mengajak penonton beramal dengan memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan tidak tertumpu pada masalah banjir saja.

"Di Seberang Jaya kami berjaya mengumpul wang tunai sebanyak RM3,000. Untuk lokasi di Melaka kami menyasarkan sumbangan yang lebih baik untuk disalurkan kepada mangsa yang terbabit dalam apa saja bencana.

"Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO)di Melaka juga akan bekerjasama dengan kami," katanya.

Dalam pada itu, konsert di Melaka juga berbeza apabila ia akan diadakan dalam dewan dan bukannya kawasan terbuka.

Pemain gitarnya Joe berkata, pemilihan lagu juga akan disusun semula bagi memastikan persembahan mereka di setiap lokasi berbeza.

Konsert Menakluk Kosmos diambil sempena kemunculan album studio Wings terbaru berjudul Menakluk Kosmos.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert berkenaan, harga tiket dikurangkan menjadi RM55 berbanding di Seberang Jaya yang dijual pada harga RM75.

Penurunan harga tiket itu disebabkan faktor lokasi di dewan tertutup yang tidak memakan kos tinggi.

Bagi peminat yang mahu mendapatkan pengalaman lebih eksklusif bersama kumpulan kesayangan mereka itu, harga tiket kategori Rock Zone pula dijual pada harga RM320. Pakej itu termasuk dengan makanan, minuman, CD Menakhluk Kosmos, cabutan bertuah dan cenderamata.

Pembeli tiket Rock Zone juga akan berpeluang beramah mesra dengan semua anggota Wings selepas tamat konsert terbabit.

Maklumat tiket, sila layari laman web www.ticket2u.biz dan www.sayap2wings.com atau hubungi 012-2666877.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:01 AM