SENTUHAN dan urutan bayi mampu tenangkan dan stabilkan emosi.
SENTUHAN dan urutan bayi mampu tenangkan dan stabilkan emosi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Benarkah sentuhan sangat penting bagi kanak-kanak? Pernahkah kita dengar hadis yang sangat popular me­ngenai anak yatim iaitu, “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap.” (Hadis riwayat Ahmad)

Menurut Felo Senior di Akademi Trauma Kanak-Kanak di Houston, Dr Bruce Perry yang menjalankan kajian mengenai kepentingan sentuhan terhadap kanak-kanak mendapati apabila sentuhan dan hubungan mata tidak wujud, korteks pada bahagian hadapan otak tidak membesar.

Menurut Pengasas Islamic Parenting Network Mazlina Karim, sentuhan adalah keperluan biologi dalam kehidupan manusia. Ia sama seperti udara yang diperlukan untuk bernafas serta salah satu keperluan yang memberikan kebaikan kepada bayi.

“Namun ramai ibu bapa tidak tahu mengenai kebaikan sentuhan dan mengambil mudah mengenai perkara ini. Sebab itu tidak hairan apabila kita sering melihat anak daripada keluarga ibu bapa biasa-biasa tetapi memiliki peribadi yang baik, ceria dan penuh kasih sayang.

“Berbeza bagi ibu bapa yang sibuk biasanya anak mereka hidup tertekan dan terbabit dengan masalah sosial disebabkan kurang sentuhan yang diterjemahkan sebagai tanda kasih sayang.

“Saya juga pernah mendengar cerita rakan berbangsa Cina mengenai jirannya yang kaya tetapi anaknya membunuh diri pada hari lahir ke-19 sedangkan bapanya baru saja membelikan kereta sport sebagai hadiah. Apakah silapnya? Ini menunjukkan wang tidak dapat membeli segalanya,” katanya.

Menjelaskan mengenai kepentingan sentuhan, dijalankan satu kajian untuk melihat implikasi urutan kepada bayi yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (ICU) dengan bayi yang mempunyai pelbagai kecacatan tumbesaran, ketidakupayaan atau tidak cukup bulan. Selepas beberapa bulan pakar kesihatan mendapati sentuhan dapat meningkatkan imunisasi bayi dan membentuk emosi bayi menjadi lebih tenang.

Satu lagi kajian bagi membuktikan perkara ini ialah pada 1248, Maharaja Frederick II, Jerman, berminat untuk mengkaji mengenai kesan kanak-kanak yang dibesarkan tanpa sentuhan sejak bayi. Malangnya dia tidak dapat melihat apa-apa keputusan eksperimen kerana semua kanak-kanak itu meninggal sebelum mereka boleh bercakap. Dia tidak sedar kanak-kanak yang meninggal dunia tanpa sentuhan adalah sebagai hasil eksperimennya itu.

Satu lagi contoh yang berlaku di rumah anak yatim Romania pada 1995 apabila kanak-kanak ini mempunyai pelbagai masalah kesihatan, kecacatan tumbesaran sehingga menyebabkan kematian. Ia menjadi perbualan hangat dan dihebahkan di televisyen sehingga siasatan dibuat.

Siasatan mendapati kanak-kanak yang mempunyai masalah ini, katil atau buaian terletak di bahagian belakang hujung rumah anak yatim. Mereka juga mendapati kanak-kanak di bahagian berdekatan dengan pintu tidak mempunyai masalah sama seperti itu. Mereka membesar dengan sihat dan mempunyai peluang lebih cerah untuk berjaya.

“Secara logiknya, kanak-kanak berdekatan pintu masuk tentu yang pertama berjumpa orang luar atau orang yang melawatnya. Mereka dapat bercakap dan menyentuhnya. Ini berbeza dengan kanak-kanak berada di bahagian hujung.

“Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin melawat ke rumah anak-anak yatim Ramadan ini cubalah memberi usapan kepada yang paling hujung dulu kerana mereka selalunya tidak mendapat perhatian berbanding dengan yang berada di depan,” katanya.

Manfaat sentuhan

Berbanding orang dewasa, bayi mempunyai deria sentuhan yang kuat kerana kulitnya lima kali lebih sensitif berbanding kulit dewasa. Urutan bayi yang betul dapat mengeluarkan hormon positif dan mengurangkan hormon negatif. Ia menyembuhkan tubuh bayi. Secara tidak langsung ia memudahkan bayi untuk tidur sekali gus memberi peluang si ibu tidur dengan aman.

Mazlina yang banyak menjalankan program mengenai pendidikan kanak-kanak menjelaskan sentuhan mempunyai kuasa yang sangat magis. Tidak kira anak autisme, cerebrum palsi, ADHD, hiperaktif, Sindrom Down atau spina bifida semuanya mempunyai kaedah mengurut yang sesuai demi merangsang penyembuhan mereka. Apa lagi bagi kanak-kanak normal yang sihat dan cergas.

“Sentuhan adalah naluri pertama yang muncul di alam rahim dan pusat untuk semua deria rasa. Bayi mempunyai lebih banyak kelenjar deria sentuhan di bawah kulit sehingga mereka berumur tiga tahun. Kemudian kelenjar ini mula berkurangan seperti kulit dewasa. Sebab itu tahap sensitiviti sentuhan bayi adalah lebih ting­gi dan kuat berbanding dewasa,” katanya.

Justeru ibu bapa adalah insan terbaik untuk mengusap dan mengurut anak mereka sendiri. Setiap orang dikurniakan cap jari berlainan kerana Allah ingin menjadikan setiap manusia unik dengan alur berbeza.

Apabila mengusap bayi corak sentuhan, kelembutan sentuhan menghasilkan corak pergerakan dan usapan tersendiri. Ritma usapan itu dapat dikenal pasti oleh bayi. Ini membezakan kita dengan individu lain. Bayi kita menyedari perbezaan ini. Apa lagi jika usapan itu diikuti dengan suara berirama yang sangat positif dalam doanya.

“Misalnya kita mengusap kepala dan pipi anak kita sambil berkata, “Inilah hafiz dan hafizah yang soleh dan solehah Mama!” Jika kita perasan, kita akan berkata dengan suara berirama, bukan satu nada. Begitu juga dengan cara usapan. Ia dapat dirasakan perbezaannya pada kulit mereka yang lebih sensitif itu.

“Oleh itu jika mengusap rambut anak yatim, usaplah dengan membacakan doa yang baik untuk mereka. Mereka benar-benar memerlukan usapan itu. Insya-Allah kebiasaan ini juga akan membiasakan kita mengusap anak kita sendiri dengan berdoa sambil merenung mata mereka dalam-dalam. Dari situ timbul rasa kasih sayang yang akan membuatkan jiwa mereka menjadi lembut. Usapan terbukti mengurangkan sikap agresif kanak-kanak,” katanya.

Bercakap mengenai kulit kanak-kanak yang lebih sensitif terhadap sentuhan berbanding kulit dewasa, Mazlina menyarankan supaya bayi tidak dipakaikan losen pada kulitnya kerana kebanyakannya dibuat dari minyak mineral. Ia berbau wangi dan tidak boleh dimakan kerana pelbagai bahan kimia digunakan semasa pembuatannya.

Di bawah usia 12 bulan, bayi juga seharusnya tidak didedahkan dengan sebarang wangian. Biarlah mereka terdedah dengan bau badan ibu bapa dan serta adik-beradik.

“Saya menyarankan ibu bapa menggunakan minyak semula jadi yang boleh dimakan. Minyak ini selalunya mempunyai agen antibakteria, antialah dan tiada bau serta mudah meresap. Untuk lebih baik dapatkan yang kaya dengan vitamin seperti minyak biji anggur dan badam manis,” katanya.

Lakukan urutan dalam keluarga

Apa anda lakukan apabila si kecil mengadu sakit perut atau kembung? Sebagai isteri dan ibu sepatutnya mempunyai kemahiran mengurut yang dapat diaplikasikan apabila ahli keluarga mengadu sakit perut.

“Contohnya apabila anak saya yang berusia tujuh dan sembilan tahun sakit perut, mereka akan datang kepada saya dan meminta untuk diurut perutnya. Ada pelbagai sebab mengapa kanak-kanak sakit perut. Jika anak anda memang tidak mempunyai masalah pada bahagian perut yang dimaklumkan doktor sebelum itu, kemungkinan besar anak anda mempunyai masalah sembelit atau angin. Urutan boleh membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Dari segi fisiologi, apabila seseorang mengurut perut bayi, sebenarnya dia mengurut perut mereka sendiri. Sebenarnya urutan pada bahagian badan dapat mengatasi keadaan usus. Usus besar ini bertanggungjawab menggerakkan sisa kumuhan keluar dari badan. Perjalanan keluarnya mengikut arah jam. Oleh itu jangan tersalah urut kerana ia akan menyebabkan segalanya balik ke tempat asal dan memburukkan keadaan atau kesakitan yang mereka alami. Urutan arah jam yang bermula dari kanan akan membantu melancarkan saluran tersumbat.

Beberapa pengamal perubatan Cina menyatakan perut adalah ruang emosi yang kuat. Buktinya kita tidak boleh berpura-pura gembira ketika sakit perut. Oleh itu jika anak diurut ketika mereka tidak sakit perut ia akan menenangkan mereka.

Ramai bayi yang mengambil susu formula atau mula makan makanan pepejal ataupun kedua-duanya sekali, mungkin mengalami sembelit. Bayi yang diberi susu ibu mempunyai hormon motilin yang memudahkan proses perkumuhan. Ini sebabnya anda perlu perlu memberi susu badan kepada si kecil.

Kira-kira 20 peratus bayi mengalami kolik. Masalah ini lebih banyak berlaku berbanding sembelit dalam dunia bayi dan kanak-kanak. Punca mungkin berkaitan dengan sistem penghadaman, sistem saraf tidak matang dan penyakit refluks gastroesofagus.

Mazlina menerangkan cara urutan perut yang betul iaitu dengan membayangkan pusat mereka seperti jam. Mula dari bawah sedikit dari jam sembilan, buat pusingan ke jam tiga dan menurun. Sambung seperti tanda soalan ke bawah pusat. Kemudian ulang tiga kali.

Pegang kedua kaki dan rapatkan ke perutnya. Pegang posisi ini selama 25 atau 30 saat. Lepaskan dan ulang. Ini dapat menolak angin dan kemungkinan akan menyebabkan angin dikeluarkan.

Kenapa ia mesti bermula di sebelah kanan? Kerana masalah perut selalunya bermula dari usus besar. Usus besar terletak di sebelah kanan tubuh manusia. Masalah usus yang tidak aktif, usus yang mengandungi gas dapat distimulasikan dengan urutan begini. Usus kanak-kanak masih tidak berapa kuat. Gerakan peristalsis di usus (penolakan bahan di dalam usus) agak perlahan berbanding dengan kemasukan makanan. Maka urutan seperti ini adalah amat membantu.

Bagi mereka yang berminat menyertai bengkel aromaterapi dan mempelajari mengenai minyak pati untuk kanak-kanak boleh menyertai bengkel santai mengenai penggunaan minyak bagi bayi dan kanak-kanak serta cara mencampurkan dengan minyak pati pada 8 Ogos ini di Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari anjuran Islamic Parenting Network. Dalam bengkel ini juga akan dikongsikan mengenai minyak pati yang sesuai untuk kanak-kanak dan perlu dijauhi. Untuk maklumat lanjut layari www.islamicparentingnetwork.net.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:13 PM