TUNKU Imran perlu pujuk Danyal.
TUNKU Imran perlu pujuk Danyal.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kedegilan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terutama Naib Presiden Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang membuat pusingan U mengekalkan nama larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) tanpa mendapatkan pengiktirafan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), mengundang risiko cukup besar.

Ini kerana, Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kerana cukup yakin mereka berada di pihak yang benar.

Malah Karim yang sudah mencapai tahap kesabaran maksimum menegaskan, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengemukakan aduan kepada Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) seandainya MOM terus degil untuk mengekalkan nama larian itu.

“Satu mesyuarat dengan anggota Majlis KOM akan diadakan dalam tempoh terdekat bincangkan isu ini. Kalau mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang, maka kita akan terus lakukannya.

“Kami tidak akan lepaskan hak kami dan tak mahu mereka (MOM) buli kita. Dia (Danyal) betul-betul sengaja nak cari pasal,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelas Karim, beliau sememangnya bersetuju dengan keputusan Mesyuarat Lembaga Eksekutif dipengerusikan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’far minggu lalu yang memutuskan untuk menukar nama larian itu dengan tidak menggunakan perkataan ‘maraton’.

Bagaimanapun, beliau hairan bagaimana Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan MOM iaitu sebuah jawatankuasa kecil secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk mengekalkan nama larian itu.

“Adakah jawatankuasa kecil itu lebih berkuasa daripada jawatankuasa induk (Lembaga Eksekutif)? Inilah yang saya rasa isu ini semakin ‘gila’,” katanya.

Justeru itu, Karim berkata, beliau memohon maaf kepada Tunku Imran sekiranya KOM mengambil tindakan undang-undang kerana masih tiada jalan penyelesaian untuk isu berkenaan.

“Jika beliau (Tunku Imran) tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan orang-orangnya dan menghormati persatuan sukan kebangsaan, saya akan ambil tindakan undang-undang dengan restu anggota Majlis KOM,” katanya.

Danyal menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, Jawatankuasa Pemasaran dan penajaan MOM sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan nama MIM yang berlangsung pada Mei nanti.

Jelas Danyal, selepas kajian terperinci dilakukan, pihaknya mendapati tidak timbul sebarang masalah atau isu untuk menggunakan nama asal walaupun tanpa pengiktirafan KOM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:05 AM