GEORGE TOWN: Sebanyak 103 premis makanan di negeri ini diarah tutup kerana kerana kotor dalam 19 operasi kebersihan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang tahun lepas.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) negeri Ku Nafishah Ku Ariffin berkata sejumlah RM94,000 kompaun turut dikenakan daripada keseluruhan 619 premis yang diperiksa.

“Sebanyak 126 notis dikeluarkan dengan 26 daripada premis terbabit diarah tutup kerana kehadiran tikus,” katanya dalam taklimat khas bersama media di sini hari ini.

Premis itu diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya diarah membersihkan premis sebelum diperiksa sekali lagi dan dibenarkan berniaga semula.

Beliau berkata bagaimanapun bagi mengelak operasi perniagaan tergendala lebih lama, pengusaha boleh meminta pegawai penguatkuasa memeriksa semula premis mereka lebih awal dan tidak menunggu sehingga tempoh 14 hari. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 3:33 PM