Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Balik Pulau: Polis Pulau Pinang menahan seorang pengedar dadah dan merampas lapan paket heroin seberat 638.4 gram bernilai RM30,000 yang disorok di belakang rumah di Kampung Permatang Damar Laut, Batu Maung, Isnin lalu.

Serbuan pada 1.05 petang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, ketika pemeriksaan seorang lelaki yang berada di dalam rumah itu cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, kami menahannya dan merampas lapan paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin, gunting dan plastik kosong dipercayai untuk membungkus dadah.

"Ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia positif dadah dan dipercayai menjadi pengedar sejak empat bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 2:58 PM