Oleh Afiq Hanif


Antara produk yang mencuri tumpuan sempena pameran komputer dan elektronik terbesar dunia CES International 2015 yang berlangsung di Las Vegas minggu lalu termasuk dua produk ASUS melalui Zenfone Zoom dan Zenfone 2.

Zenfone Zoom menjadi telefon pintar ternipis yang menampilkan kamera belakang 13MP dan kelengkapan zum optikal sebanyak 3x di samping lensa 10 elemen, sekali gus menjadikan jumlah zum digitalnya menjangkau 12x untuk merakam foto lebih jelas.

Selain ini, Zenfone Zoom turut memiliki penstabil imej optikal bagi mengurangkan gegaran ketika merakam gambar yang diperting­katkan dengan gandi­ngan fokus laser manakala mod manual disediakan memberikan kawalan seperti jurugambar profesional.

Hasil kejayaan menjual lebih 4.5 juta unit dalam tempoh tiga bulan pada 2014, ASUS bersedia melancarkan Zenfone kedua dengan menaik taraf antaramuka ZenUI keluarannya yang kini dilengkapi sistem keselamatan Trend Micro.

Ia menggunakan skrin sebesar 5.5 inci beresolusi HD penuh 1920 x 1080 piksel meng­gunakan paparan IPS dan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak.

ASUS turut mengekalkan aplikasi kamera Pixelmaster yang dapat membuatkan gambar lebih cerah pada pencahayaan malap tetapi paling menarik, RAMnya menjangkau 4GB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM