Shafien Mamat (dua kanan) menunjukkan lokasi kejadian seorang penjenayah maut terjatuh bangunan. FOTO Faiz Anuar
Shafien Mamat (dua kanan) menunjukkan lokasi kejadian seorang penjenayah maut terjatuh bangunan. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Empat penjenayah berjaya ditahan manakala seorang lagi maut terjatuh bangunan dalam serbuan polis di sebuah pangsapuri di Setia Alam, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyerbu sebuah kediaman berkenaan selepas menerima maklumat mengenai tempat persembunyian sekumpulan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika serbuan di tingkat 11 pangsapuri itu, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berjaya ditahan manakala dua lagi rakannya melarikan diri dengan memanjat keluar menerusi tingkap rumah terbabit.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudiannya terjatuh ke aras bawah bangunan dan seorang lagi bertindak memecahkan tingkap sebelum masuk ke sebuah rumah di tingkat lapan pangsapuri itu.

"Di dalam rumah itu ada seorang wanita yang tinggal seorang diri dan suspek mengarahkan mangsa untuk mendiamkan diri.

"Selepas hampir sejam dan pemeriksaan polis dari rumah ke rumah, suspek berjaya diberkas di dalam rumah itu dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Shafien berkata, seorang lagi suspek ditahan polis di perkarangan bangunan berkenaan selepas dimaklumkan oleh pengawal keselamatan.

"Pemeriksaan lanjut di rumah suspek di tingkat 11 menjumpai sepucuk pistol, satu beg berisi telefon pintar serta beberapa alat memproses dadah.

"Semua penjenayah iaitu empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dikehendaki susulan kes samun yang berlaku di Setia Alam pada 28 April lalu," katanya.

Katanya, semua penjenayah berusia lingkungan 20an dan sehingga kini kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 4:14 PM