Agensi

Bandung: Seorang kanak-kanak lelaki yang dianggap budak paling gemuk di dunia sehingga mengancam nyawanya selamat menjalani pembedahan untuk mengurangkan berat badannya.

Arya Permana yang berasal dari Kerawang, Jawa Barat mengejutkan dunia tahun lalu apabila beratnya mencecah 192 kilogram (kg) walaupun baru berusia 10 tahun.

Keadaan itu menyebabkan doktor bimbang Arya mungkin berdepan penyakit yang mengancam nyawa sekiranya berat badannya terus meningkat.

Selepas menjalani beberapa rawatan di hospital, Arya yang kini berusia 11 tahun menjalani pembedahan pintasan gastrik di Hospital Omni di Alam Sutra, Tengerang pada 17 April lalu.

Prosedur itu bertujuan mengecilkan saiz perutnya supaya dia cepat kenyang dan lambat lapar.

Bapa Arya, Ade Sumantri berkata, dalam tempoh tiga minggu sahaja berat badan kanak-kanak itu berjaya turun sebanyak 17kg.

Katanya, keadaan fizikal Arya juga semakin baik dan dia semakin lincah dan boleh berjalan dengan bebas.

“Lehernya sekarang sudah kelihatan. Dulu lehernya seperti kura-kura tetapi kini ia seperti angsa,” katanya.

Tambahnya, selain perubahan fizikal, emosi dan sikap Arya juga bertambah baik serta mula memahami pentingnya mengawal berat badannya.

“Dahulu Arya sering mengamuk sekiranya lapar dan tidak diberi makanan secukupnya.

“Namun, kini Arya boleh mengawal dirinya dan akur dengan nasihat ibu bapanya,” jelasnya.

Menurutnya, Arya juga tidak lagi ponteng ke sekolah dan dia antara pelajar yang pintar di dalam kelas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:04 AM