DR Maaz ul Hassan (kanan) bersetuju melakukan pembedahan bariatrik terhadap Arbrar. FOTO Caters News Agency
DR Maaz ul Hassan (kanan) bersetuju melakukan pembedahan bariatrik terhadap Arbrar. FOTO Caters News Agency
Agensi

ISLAMABAD: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun di Pakistan kini dianggap sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia selepas berat badannya mencecah 197 kilogram hingga doktor bimbang dia mungkin mati akibat obesiti.

Mail Online melaporkan, Mohammed Arbrar dilahirkan normal dengan berat 3.6 kilogram tetapi dia mempunyai selera makan yang tidak berhenti menyebabkan berat badannya meningkat mendadak.

Kerana berat badannya semakin meningkat ditambah dengan kesukaran mengawal nafsu makan, doktor tiada pilihan selain pembedahan mengecilkan saiz perut Arbrar dalam usaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

Arbrar juga mengatasi seorang kanak-kanak di Indonesia, Arya Permana yang mendapat liputan meluas media kerana mempunyai berat badan 184 kilogram ketika berusia 10 tahun kira-kira tiga tahun lalu.

Ibunya, Zareena berkata, tiga anaknya yang lain memiliki berat badan yang normal malah dia serta suaminya bukanlah individu yang berbadan besar.

“Ketika masih bayi saya sukar untuk mendukung Arbrar kerana terlalu berat dan dia boleh makan empat pinggan nasi atau 10 keping capati dengan kari ayam untuk sekali hidangan.

“Arbrar sentiasa lapar dan akan menangis sekiranya makanan yang diberikan tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, Arbrar juga tidak bersekolah kerana dia tidak boleh berjalan lebih dari tiga langkah dan menghabiskan kebanyakan masanya dengan duduk atau berbaring.

Kini keluarga Arbrar berharap ada sinar untuk anaknya itu selepas seorang pakar bedah terkenal Pakistan, Dr Maaz ul Hassan bersetuju melakukan pembedahan bariatrik atau mengikat perut.

“Saya gembira Arbrar bakal menjalani pembedahan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:41 AM