Tertuduh kes samun bersenjata pada 24 April 2017 dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Adi Safri
Tertuduh kes samun bersenjata pada 24 April 2017 dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Adi Safri
Mohamad Fahd Rahmat


Muar: Empat sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan merompak wanita berusia 27 tahun dengan pisau.

Tertuduh Ahmad Kushairi Mohd Shahar, 30, Mohamad Haanee Kamaludeen, 29, Mohd Fauzi Kasim, 29, dan Abdul Farid Awaluddin, 31, didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah rumah di No 6 Jalan Gemilang 3, Jalan Salleh Muar pada 24 April lalu, antara 2.30 hingga 4.30 pagi.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh melaksanakan niat bersama merompak berkumpulan bersenjatakan pisau ke atas pengadu, Nur Hawa Mahzan, 27, dan merompak harta miliknya.

Tertuduh merompak seutas gelang emas tangan dan kaki, empat bentuk cincin, tujuh beg tangan pelbagai jenama iaitu Prada, Charge & Kithe, Coach, Bonia dan tiga jam tangan jenama Tissot, Roscani dan Seiko milik Mohd Noh Abdullah, 45.

Tertuduh didakwa bersama-sama melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 1:43 PM