Oleh Siti Zarinah Sahib


Menyoroti kisah cinta sejoli Sara Zalia Jamal, 30, dengan pasangannya Zakaria Northflint Wungkana Abdullah, 42, sememangnya melalui masa yang panjang.

Mula berkenalan pada 2007 ketika masing-masing bertugas di AirAsia Johor Bahru kemudian berpindah ke Pulau Pinang, pada saat ini hubungan mereka menjadi semakin serius.

Sara akui mula tertarik dengan karakter Zakaria yang penyabar dan sangat memahami dirinya. Ditambah pula sepanjang perkenalan Zakaria menunjukkan kesungguhan dan cuba menjadi pendengar setia. Apa saja masalah yang disampaikan cuba diselesaikan Zakaria. Malah, dalam tempoh tujuh tahun berkawan, Zakaria ada melamar Sara, tetapi disebabkan masih belum yakin dengan ketulusan hati Zakaria menyebabkan dia membiarkan lamaran itu tiada jawapan.

"Namun, kesungguhan serta sifat bertanggungjawab yang ditunjukkan membuatkan saya yakin dialah pilihan hati saya. Apa yang membuatkan hati saya terbuka ialah kesediaannya menghubungi ibu dan menyatakan lamaran, membuatkan saya terus bersetuju untuk menjadi pasangannya," katanya yang memilih tarikh keramat 5 Disember 2014 untuk melangsungkan pernikahan dan persandingan pada hari yang sama di Hotel Thistle Johor Bahru.

Tarikh 5 Disember dipilih kerana ia hari lahir ayah Sara, Jamal Limat yang bertugas sebagai pegawai polis di Johor dan juga tarikh ulang tahun perkahwinan ibu dan ayahnya. Jadi pemilihan tarikh ini sangat bererti kerana sudah tentu Sara dan ayahnya akan meraikan majlis ulang tahun perkahwinan bersama-sama.

Memilih tema kasih sayang dengan tidak menetapkan warna pilihan, semua urusan perkahwinan dilakukan Sara dan ibunya. Pada majlis itu, Sara anggun mengenakan pakaian Cocktail Evening dengan perincian mewah manakala pernikahan dan pelamin ilham Nizam Zary Bridal. Pihak lelaki membawa lima dulang hantaran berbalas lima hantaran yang semuanya hasil rekaan saudara Sara sendiri.

Bekerja dalam penerbangan berbeza, Sara sebagai ketua pramugari di Malindo Air KLIA2 manakala suami juruterbang Batik Air Jakarta, Indonesia menyebabkan mereka terpaksa menempuh perhubungan jarak jauh. Namun, atas rasa saling percaya, pasangan suami isteri ini sangat rapat dan sentiasa berhubung antara satu sama lain.

"Saya bersyukur kerana keluarga dan rakan sangat memahami dan memberikan sokongan. Dalam tempoh perkahwinan yang belum menjangkau dua bulan, kami masih dalam proses menyesuaikan diri dan mengenali hati budi masing-masing. Namun, saya bersyukur kerana suami sangat memahami dan kami sentiasa berhubung antara satu sama lain," jelasnya yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:01 AM