Siti Zarinah Sahib


BAGI ibu bapa yang memiliki anak kategori orang kurang upaya (OKU) seperti autisme atau sindrom Down, proses akil baligh tentunya saat mendebarkan atau paling tidak diharapkan.

Ini kerana dalam keadaan kurang bersedia sudah pasti kedatangan haid pertama bagi anak perempuan atau mimpi basah untuk anak lelaki perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Topik menstruasi pada anak autisme perempuan menjadi tugas yang cukup berat bagi ibu. Wujud kekhuatiran bagaimana anak syurga akan berhadapan situasi ini.

Dalam keadaan mereka perlu diuruskan terutama bagi anak OKU kronik, perubahan fizikal seperti bentuk badan dan pertambahan saiz buah dada perlu dijelaskan sebaik-baiknya. Ini kerana anak autisme agak sukar menerima konsep yang abstrak begini.

Bagi Dr Azlina Masdar, 45, ibu kepada Amira Daniea Saiful Amri, 14, yang disahkan mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) pada usia dua setengah tahun, dia sudah membuat persediaan bagi berhadapan situasi sekiranya Daniea datang haid pada usia 13 atau 14 tahun.

AZLINA bersama anaknya yang menghidap autisme, Amira Daniea. FOTO Eizairi Shamsudin
AZLINA bersama anaknya yang menghidap autisme, Amira Daniea. FOTO Eizairi Shamsudin

“Saya bersyukur kerana memiliki anak perempuan sulung, jadi pengalaman yang sama dapat digunakan ketika bersama Daniea.

“Saya juga membuat persediaan dengan bertanya ibu lain yang mempunyai anak autisme dan guru Daniea di sekolah. Ini bagi mendapatkan kepastian dan persiapan yang perlu dilakukan,” katanya.

Jelas Dr Azlina, daripada ilmu yang diperoleh, dia mula mengarang cerita bagaimana darah keluar dan cara pemakaian tuala wanita. Daripada situ Daniea yang juga ahli Koir Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM), Maestro diajar mengenali warna darah yang diletakkan pewarna merah.

“Apabila ada warna sebegini pada tuala wanita menandakan Daniea datang bulan. Itulah yang sering saya terang berkali-kali kepadanya ketika berasakan terdapat tanda yang dia akan haid,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata ibu kepada tiga cahaya mata ini, memiliki anak OKU sememangnya mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Ini kerana kefahaman mereka tidak sama dengan anak normal.

“Saya bersyukur kerana Daniea mengalami masalah pertuturan, tetapi dia tidak tantrum. Jadi ia memudahkan urusan saya memberikan penjelasan tanpa ada risiko. Mujur Daniea anak yang mudah memahami dan tidak banyak kerenah,” katanya.

DANIEA leka melukis di atas kanvas sambil diperhatikan ibunya. FOTO Eizairi Shamsudin
DANIEA leka melukis di atas kanvas sambil diperhatikan ibunya. FOTO Eizairi Shamsudin

Ajar secara praktikal

Bahagian paling sukar adalah cara pengurusan haid termasuk menjaga kebersihan. Ini kerana Dr Azlina terpaksa menunjukkan cara membuang tuala wanita yang sudah dibersihkan satu persatu.

Dalam hal ini ia bukan berkaitan teori sebaliknya langkah demi langkah supaya Daniea faham dan tidak melakukan kesilapan. Keadaan ini sekurang-kurangnya meringankan bebanan guru apabila dia datang haid di sekolah.

Menceritakan situasi anak gadisnya datang bulan buat kali pertama, Dr Azlina bersyukur kerana ia berlaku semasa dia bersama kakaknya di rumah.

“Ketika itu saya sedang bekerja. Jadi saya mengharapkan kakaknya dapat mengendalikan Daniea. Mujur tiada sebarang masalah dan ia berjalan lancar pada hari pertama.

“Daniea juga tidak alami senggugut atau berubah emosi. Saya tidak hadirkan Daniea ke sekolah selama beberapa hari bagi memberi peluang kami bersama.

“Bermula daripada cara memakai tuala wanita, membasuh, membungkus dan membuang termasuk mandi wajib semua saya tunjukkan satu persatu. Begitu juga pelbagai jenis tuala wanita yang digunakan mengikut situasi. Alhamdulillah dia dapat menerimanya dan akhirnya dapat melakukan tanpa bantuan,” jelasnya.

Menurut Dr Azlina, ibu yang memiliki anak autisme seharusnya memiliki ilmu bagi mengendalikan anak mereka.

Setiap anak tidak sama tahap perkembangannya.

Ada yang cepat dan lambat, ada yang tantrum dan tidak. Sekiranya kurang jelas, bertanyalah kepada mereka yang pakar dalam bidang ini.

“Saya sendiri bertemu pakar perbidanan dan sakit puan untuk bertanya persediaan yang perlu dilakukan. Ini kerana ada pendapat yang mengatakan perlu mengambil ubat untuk menghentikan darah haid.

“Sebenarnya ia hanya perlu bagi individu yang tidak tahu menguruskan diri sendiri. Misalnya mereka yang tantrum, tidak pandai menjaga kebersihan dan membuang tuala wanita di merata-rata tempat.

“Namun perlu mendapatkan nasihat pakar kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kesan sampingan,” katanya.

Sebenarnya sejak anak berusia 10 tahun lagi ibu boleh membuat beberapa perancangan khusus sebagai persediaan untuk akil baligh. Ini bagi memastikan apa saja yang diatur berjaya dilakukan. Paling penting berdoalah selalu supaya Allah memudahkan urusan menjaga anak syurga ini.

ANTARA lukisan Daniea yang disimpan di rumah. FOTO Eizairi Shamsudin
ANTARA lukisan Daniea yang disimpan di rumah. FOTO Eizairi Shamsudin

Jana pendapatan dengan melukis

Menceritakan bagaimana Daniea disahkan autisme, menurut Dr Azlina anak ketiganya ini yang dilahirkan di Dublin, Ireland tidak menunjukkan sebarang tanda berbeza selepas menjengah dunia. Namun dia dikesan mengalami ASD selepas masih tidak boleh bercakap pada usia dua tahun tiga bulan.

Selepas dirujuk pakar kanak-kanak, Daniea menerima terapi awal intervensi di negara terbabit sebaik keputusan pelbagai ujian dikeluarkan.

Dr Azlina yang menetap di Dublin kerana mengikut suami, Dr Saiful Amri Mazlan, 45, yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) akhirnya turut melakukan perkara sama namun dalam bidang kepakaran anestesiologi dan rawatan intensif.

Selepas tujuh tahun di sana, Dr Azlina mengambil keputusan kembali ke Malaysia bagi memberikan rawatan dan pendidikan yang lebih meluas kepada Daniea. Sejak itu Daniea mengikuti pelbagai kelas termasuk bermain piano dan melukis.

Sebagai ibu dia menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengenal pasti kekuatan dalaman anaknya termasuk menghantarnya ke pelbagai kelas kemahiran. Namun bakat Daniea lebih cenderung kepada melukis.

“Dia gemar melukis karakter kartun Hello Kitty dan Little Miss Sunshine. Malah kebanyakan lukisan Daniea memiliki tarikan tersendiri walaupun ketika itu baru berusia empat tahun,” kata Azlina yang juga Pakar Anestesiologi dan Pensyarah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.

Kini Daniea sudah boleh melukis menggunakan cat akrilik atas kanvas dan mula menghasilkan pelbagai jenis lukisan termasuk pemandangan, abstrak, bunga dan bangunan.

Lebih 100 karya lukisan sudah dihasilkan dan dia mula mengadakan pameran lukisan di luar dan menjana pendapatan menerusinya.

Berkongsi sedikit pengalaman dikurniakan anak autisme, jelas Dr Azlina dia sama seperti ibu bapa lain yang mengharapkan anaknya dilahirkan normal. Bagaimanapun, saat disahkan sebagai autisme pada peringkat awal dia amat sedih.

“Tetapi saya tidak melayan kesedihan. Saya cepat bangkit dan terus mencari kekuatan Daniea. Pada mulanya ia sangat mencabar terutama tingkat kesabaran dalam melayan kerenah Daniea.

“Masa, tenaga dan wang perlu dikorbankan bagi memastikan Daniea mampu menguruskan

diri sendiri serta tidak bergantung dengan orang lain seandainya saya dan suami tiada nanti.

“Namun saya sedar memiliki anak autisme adalah hadiah terbesar dan cukup bernilai dalam hidup saya. Banyak hikmah dan perkara positif saya peroleh sepanjang membesarkan Daniea 14 tahun lalu,” katanya yang ditemui di kediamannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

DR Azlina memakaikan gincu ke bibir anaknya Daniea untuk sesi penggambaran. FOTO Eizairi Shamsudin
DR Azlina memakaikan gincu ke bibir anaknya Daniea untuk sesi penggambaran. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:15 AM