SALAH (dua dari kiri) jaring dua gol selepas waktu rehat.
SALAH (dua dari kiri) jaring dua gol selepas waktu rehat.
AFP

Milan: Jaringan babak kedua Mohamed Salah memastikan AS Roma menang selesa 4-1 ke atas Pescara sekali gus membuatkan skuad yang sedang bergelut di Serie A itu kembali ke divisyen dua Itali.

Kemenangan ke-24 Roma itu membolehkan mereka merapatkan jurang mata dengan pendahulu Juventus kepada lapan mata walaupun kelab gergasi Turin itu berada di landasan sebenar untuk menjulang scudetto buat kali keenam berturut-turut.

“Kemenangan ini tidak mudah buat kami,” kata jurulatih Roma, Luciano Spalletti selepas anak buahnya kini mendahului pasukan di tangga ketiga Napoli dengan kelebihan empat mata.

“Pemain saya berhak untuk menamatkan musim ini di tangga kedua dan dengan berbaki lima perlawanan, Napoli tetap menjadi ancaman buat kami.”

Satu-satunya perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada Roma pada hari mereka melantik bekas penjaga gol Sevilla Ramon Rodriguez Verdejo sebagai pengarah sukan baru ialah apabila penyerang Edin Dzeko menunjukkan rasa tidak senang ketika Spalletti mengeluarkannya untuk digantikan dengan Clement Grenier.

Dzeko kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak dengan penyerang Torino, Andrea Belotti selepas masing-masing menjaringkan 25 gol tetapi dia berasakan peluangnya untuk menambah jaringan dinafikan pengurus itu sambil penggempur Inter Milan, Mauro Icardi pula sudah meledak 24 gol hasil hatrik ketika pasukannya tewas 4-5 kepada Fiorentina.

Laporan mendakwa Dzeko mengkritik Spalletti dengan berkata: “Anda cuba menunjuk pandai?”

Namun Spalletti pantas meredakan keadaan daripada merebak ke bilik persalinan dengan berkata: “Ketika kami semua berada di bilik persalinan, kami bertemu dan berbaik semula.

“Jika dia sedar mengapa saya mengeluarkannya, tentu dia tidak bercakap begitu. Kami akan mengharungi tiga perlawanan penting selepas ini dan kami tidak mampu melakukannya tanpa dia di posisi depan. Dia satu-satunya penyerang tengah yang saya ada.”

Dzeko hanya bertindak selaku perancang jaringan pada perlawanan itu dan gol Roma dihasilkan Kevin Strootman, Radja Nainggolan dan Salah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 9:11 AM