AFP

Los Angeles: Tiger Woods menjalani pembedahan keempat di belakang badannya dan dijangka tidak akan beraksi di mana-mana kejohanan hingga sekurang-kurangnya Oktober nanti.

“Pembedahan itu berjalan lancar dan saya yakin ia akan melegakan kesakitan serta rasa tidak selesa di belakang badan,” kata Woods yang tidak menyertai kejohanan kompetitif sejak menarik diri dari Kejohanan Dubai Desert, Februari lalu.

Proses penyembuhan biasa ialah selama enam bulan, kata Woods di dalam laman sosial Twitter miliknya. Tempoh itu menyaksikan dia tidak akan bermain di Jelajah PGA dan Piala Presiden.

Woods menjalani pembedahan pertama di belakangnya sebelum Master 2014 dan dua lagi prosedur sama menyusul selepas musim PGA 2015 hingga menyebabkan dia perlu berehat selama lebih setahun.

“Apabila sembuh nanti, saya akan kembali menjalani kehidupan normal, bermain dengan anak-anak, menyertai pertandingan golf dan tidak lagi merasa sakit,” katanya.

Pembedahan itu dijalankan dua hari selepas Woods berkata masalah di belakangnya sudah semakin baik dan kenyataan itu dikeluarkan ketika ditemui di Missouri.

Woods akan berehat selama beberapa minggu sebelum memulakan sesi terapi dan rawatan susulan.

“Kerana prosedur dan kes ini agak unik, pesakit biasanya akan kembali menjalani aktiviti masing-masing selepas enam bulan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:55 AM