Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Omar Osman


Sungai Petani: Pemotong rumput maut manakala rakannya cedera selepas van dinaiki mereka melanggar belakang treler di Kilometer 42, Jalan Butterworth-Alor Setar berhampiran kilang Perwaja dekat Gurun, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, dalam kejadian 4.25 petang itu, Mohd Fauzan Iman Naim Md Roslan, 31, dan rakannya, Aziz Azizan, 37, menaiki van dari Sungai Petani menghala ke Gurun.

Katanya, tayar belakang van pecah menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu merempuh belakang treler yang diletak di bahu jalan.

"Mohd Fauzan Iman yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Rakannya yang juga pemandu van cedera dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya dihubungi di sini.

Md Zukir berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 11:03 PM