FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


LELAKI Indonesia yang melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka dan video itu kemudiannya viral di media sosial didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.

Tertuduh, Aris, 46, buruh binaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk mangsa, di sebuah kedai serbaneka, Bandar Country Homes, Rawang, jam 6.19 petang, pada 10 Julai lalu.

Dakwaan kes terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M Arunjothy, tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh warga asing selain tidak memiliki pasport.

Dalam prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kemudian menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan perbuatan lelaki dengan menggesel punggung mangsa berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai serbaneka dekat Bandar Country Homes, Rawang.

Perbuatan itu dilakukan ketika mangsa bersama adiknya ke rak di bahagian belakang sebelum dihampiri lelaki itu.

Lelaki berkenaan kemudian memeluk kanak-kanak itu dan kembali lagi ke rak jualan terbabit dan melakukan perkara sama, sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Tertuduh kemudian berpura-pura melihat barang di rak jualan sebelum beredar dari ruang kedai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 12:10 PM