PESAWAT dianggotai (dari kiri) Kudux, Mann, Jipie dan Nizam.
PESAWAT dianggotai (dari kiri) Kudux, Mann, Jipie dan Nizam.
Najiy Jefri


Tatkala nama Pesawat sedang terbang tinggi menerusi lagu Rapuh pada 2013, tiba tiba band yang dianggotai Jipie (penyanyi), Kudux (dram), Man (bass) dan Nizam Camel (gitar) itu hilang dari radar industri muzik tempatan.

Ketika itu, Pesawat antara band indie yang berjaya menempatkan nama di arus muzik perdana.

Hampir empat tahun menyepi, Pesawat kembali mendarat dengan mempertaruhkan lagu Luluh.

Bertemu mereka dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, Jipie berkata, kehilangan mereka bukan kerana merajuk tetapi ‘takut’ melihat perkembangan lagu berkualiti sejak ketiadaan mereka.

“Kami tidak hilang cuma sibuk dengan hal peribadi masing-masing. Ada yang terikat dengan komitmen kerja dan hampir semua daripada kami sudah mendirikan rumah tangga.

“Sebenarnya kami masih aktif menyanyi tetapi sudah lama tidak ke studio merakamkan lagu baru.

“Bukan apa, sepanjang ‘hilang’ kami akui takut untuk kembali aktif memandangkan terlalu banyak lagu yang berkualiti hadir dalam industri muzik sekali gus membuatkan kami takut untuk keluarkan single baru.

“Bagaimanapun, selepas hampir beberapa tahun mencari lagu berkualiti, kami berjaya menyiapkan single Luluh mengikut permintaan dan selera pendengar masa kini,” katanya.

Menurut Jipie, dalam tempoh menyepi mereka juga mengkaji permintaan pendengar terhadap muzik yang digemari.

“Apa yang kami lihat rakyat Malaysia gemar menyanyi, jadi formula kami adalah menghasilkan lirik yang dekat dengan diri mereka selain melodi yang ‘catchy’.

“Luluh mengandungi melodi yang senang didengar dan dihafal berbanding lagu kami dulu yang lebih tersirat,”katanya.

Biarpun muzik indie dilihat semakin pudar, Pesawat yakin masih ada ruang untuk mereka bernafas dalam industri.

“Walaupun carta muzik tempatan hari ini dimonopoli lagu 90-an, kami percaya pemuzik indie masih ada peluang untuk melebarkan sayapnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 4:43 AM