Kejadian tanah runtuh di Jalan Mangkubou Laut, Pitas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Kejadian tanah runtuh di Jalan Mangkubou Laut, Pitas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan 417 orang daripada 100 keluarga di Kota Marudu, Pitas dan Paitan terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 9 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, semua mangsa banjir itu ditempatkan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan (Kota Marudu), Dewan Kampung Binsulung (Paitan) dan Dewan SK Salimpodon (Pitas).

"Jumlah mangsa banjir di Kota Marudu meningkat seramai 346 berbanding 331 penduduk dari Kampung Beliajung sejak jam 9 pagi tadi.

"Di Pitas pula membabitkan seramai tujuh keluarga ditempatkan di Dewan SK Salimpodon serta di Paitan, 11 keluarga di Dewan Kampung Binsulung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hujan lebat dan renyai-renyai sejak jam 10 malam semalam menyebabkan bacaan paras air sungai di beberapa kawasan mencecah paras bahaya.

"Untuk makluman, terdapat satu laluan di Jalan Langkon-Pitas di Pitas yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak malam semalam.

"Selain itu, satu laluan Jalan Mangkubou Laut-Pitas juga dilaporkan mengalami tanah runtuh dan kita menasihatkan orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan lebih berhati-hati," katanya.

Jelasnya, APM Sabah sentiasa bersedia dan memantau keadaan penduduk di sekitar daerah itu sekiranya banjir semakin teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 11:11 AM