Muhamad Nur Fitri merakam kenangan bersama muridnya di SK Sungai Telor. FOTO Ihsan Muhamad Nur Fitri
Muhamad Nur Fitri merakam kenangan bersama muridnya di SK Sungai Telor. FOTO Ihsan Muhamad Nur Fitri
Amirul Haswendy Ashari


“SAYA hadiahkan benda yang paling saya sayang dan harap setiap kali cikgu melihatnya, cikgu ingat pada saya,” itu luahan murid darjah 3 dikenali Taufiq yang menghadiahkan ‘Beyblade’ kesayangan kepada guru sementara KGSK (Kumpulan Guru Simpanan Khas), Muhamad Nur Fitri Nor Azman, 23, semalam.

Muhamad Nur Fitri yang berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telor, Kota Tinggi sejak 18 Julai lalu dan berakhir semalam, berkongsi kisah itu di laman Twitternya, @fitriazmann dan mendapat lebih 4,000 perkongsian serta lebih 5,400 tanda suka sejak semalam.

“Semalam hari terakhir selepas dua bulan berkhidmat di sini, ada beberapa murid tahun 1 dan 3 beri hadiah kepada saya. “Saya tertarik dengan satu hadiah yang diberikan ketua kelas tahun 3 Tekun sebab dia memberi hadiah ‘Beyblade’.

“Pelik dan tertanya juga, kenapa dia hadiahkan permainan itu sedangkan dia tahu lelaki dewasa seperti saya tidak main permainan kanak-kanak seperti itu.

“Apabila membaca surat yang dia tulis bersama-sama hadiah itu, barulah saya tahu dan membuatkan saya sebak,” katanya yang turut mendapat pelbagai hadiah lain daripada mereka.

 Beyblade yang diterima Muhamad Nur Fitri daripada muridnya. FOTO Ihsan Muhamad Nur Fitri
Beyblade yang diterima Muhamad Nur Fitri daripada muridnya. FOTO Ihsan Muhamad Nur Fitri

Ketika dihubungi, Muhamad Nur Fitri berkata, semua murid tahun 1 dan 3 sekolah itu sedih apabila mendapat tahu dia akan menamatkan perkhidmatan.

Pada masa sama, dia sempat memohon maaf kepada mereka jika pernah mengguris hati atau perasaan selama bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, dia mengakui berat hati mahu meninggalkan mereka terutama dengan penghargaan tinggi diberikan murid kepada guru.

Peristiwa itu membuatkannya lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menjadi pendidik pada masa depan.

“Banyak memori indah bersama mereka, antaranya melihat mereka seronok apabila saya mulakan sesi pembelajaran dengan permainan bahasa atau ‘Language Game’.

“Selain itu, pentadbir dan guru sekolah juga memberi layanan sangat baik, tidak kedekut ilmu walaupun saya hanya guru sementara,” katanya.

Guru lulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua Pendidikan Rendah) dari Institusi Pendidikan Guru Malaysia itu berharap menjadi pendidik cemerlang selain melahirkan generasi terbilang pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 8:01 PM